Saturday, December 27, 2008

sambungan MESRA tapi tak mesra

Saya masih teringat kisah tentang pertemuan dengan pegawai mesra bulan yang lalu. Dek kerana hati masih tidak puas dengan hasil perbincangan pertama dengan mereka, selepas makan tengah hari di cafe depan exhibition hall bersama staff saya, saya masuk semula untuk bertemu mereka.
Gaya saya masuk saya dapat rasakan hati masih terasa panas, mungkin juga bahang tersebut dapat dirasakan juga oleh pegawai MESRA. Ketika saya sampai mereka dalam keadaan chill. Mungkin dah penat dengan telatah pelbagai daripada usahawan-usahawan lain yang beratur untuk berjumpa mereka.
Saya cuba untuk menyabarkan diri agar nanti perbualan tidak menjadi seperti yang dirancangkan. Saya kembali untuk menanyakan beberapa persoalan yang saya fikir perlu jawapan yang jelas.
Antara soalan tersebut adalah kenapa PETRONAS masih mengenakan listing fees yang boleh dikira agak tinggi jika dibandingkan dengan Hypermarket yang lain-lain. Yang pastinya nilai tersebut bagi mereka agak berpatutan ... tetapi tidak mampu untuk usahawan IKS apatah lagi usahawan yang baru bermula untuk menapak.
Saya ada tanyakan kenapa PETRONAS seolah olah seperti tidak mahu membantu usahawan Melayu. Kaedah penyenaraian dan fees yang dikenakan seolah olah tidak memberi ruang untuk kami langsung.
Jawapan yang saya dapat adalah adakah syarikat lain yang mahu membantu Melayu juga. Saya mula hilang sabar, ia betul syarikat lain semestinya tidak akan membantu usahawan Melayu kerana mereka adalah syarikat luar negara, bukan syarikat Malaysia apatah lagi syarikat berkaitan dengan Melayu. Sekiranya PETRONAS juga tidak mahu membantu Melayu siapa lagi yang akan membantu kami.
Saya ingin perbetulkan bukan PETRONAS tapi MESRA.....
Kali ini saya juga dapat rasakan pihak pegawai tersebut juga mula nampak ketegangan. Lalu saya cuba untuk meredakan keadaan. Tukar topik.....
Saya tanyakan kali ini bagaimana caranya pihak MESRA rasakan yang terbaik perlu saya lakukan agar.
Mereka ada sebutkan contoh ada usahawan sebelum ini yang cuba menjual minuman roselle. Beliau melenting kerana MESRA katakan produk tersebut tidak sesuai untuk mereka. Terlalu besar katanya. Sepatutnya beliau perlu buat satu packaging kecil agar minuman tersebut dapat dijual di MESRA kerana mereka lebih bersifat convenient store.
Masalah saya adalah harga. Harga saya RM4.90 dikira agak tinggi untuk pelanggan MESRA. Pelanggan mesra 80% adalah Melayu dan harga tersebut kebanyakannya tidak sesuai untuk kumpulan Melayu.
Apa yang perlu saya lakukan adalah untuk turunkan harga.
Dipihak saya pula, kos kami adalah tinggi. Mustahil untuk turunkan harga lebih rendah.
Apa jawapan dari MESRA..........?
Husamwaksa
28 Disember 2008

Tuesday, December 23, 2008

When you think too much


Berfikir selalunya akan dikaitkan sebagai suatu kegiatan yang sihat. Saya pernah terdengar kata-kata yang mengatakan apabila orang sudah mula berhenti berfikir maka sebenarnya beliau sudah hampir kepada kematian.

Banyak daripada kalangan rakan-rakan saya dari kumpulan pesara, tetapi kelihatan penuh bertenaga dan sihat walafiat malah lebih baik daripada orang muda. Kuncinya hanya satu, mereka jarang kelihatan untuk bersara daripada berfikir.

Salah seorang negarawan yang sangat rapat adalah Dato' Kamarudin Kachar. Sudah beribu kertas kerja dan beratus konvensyen telah beliau anjurkan dan sehingga kini masih banyak program-program yang menanti giliran untuk dilaksanakan. Semestinya semua kerja-kerja tersebut memerlukan untuk berfikir. Sehingga hari ini saya secara peribadi ada terasa sedikit cemburu dengan beliau dek kerana aktifnya kehidupan beliau serta idea idea bernas yang sentiasa terpacul daripada mulut beliau ketika berbicara. Ditambah pula loghat noghoe yang jelas menambahkan lagi keistimewaan setiap butir percakapan beliau.

Bercakap tentang berfikir didalam perniagaan berfikir itu adalah sebahagian daripada aset. Kerana berfikir kita merancang strategi. Berfikir juga kita menyelesaikan masalah. Kerana berfikir juga kita dapat melipat gandakan keuntungan serta mengelakkan kerugian.

Kita akan berfikir sebelum membuat sebarang percaturan dan keputusan.

Tetapi didalam berfikir juga, saya percaya disini ada seni didalam berfikir. Saya lihat ramai daripada kalangan rakan-rakan perniagaan malah daripada cerita-cerita tokoh perniagaan dunia akan melakukan persediaan awal dengan mengkaji sesuatu perniagaan sebelum mengambil keputusan. Disini kita katakan sebagai berfikir.

Seperti yang saya katakan didalam perniagaan cara berfikirnya berbeza. Ada 'art of thinking' didalam dunia perniagaan itu sendiri. Seni itu pula secara asasnya metode nya hampir sama. Ahli perniagaan akan berfikir, membuat timbang tara, kajian dan seterusnya membuat keputusan. Tetapi yang kita tidak tahu didalam proses tersebut ada peratusan kecil yang lebih kepada keputusan 'naluri'. Mereka akan membuat keputusan berdasarkan perasaan. Tetapi perasaan itu berdasarkan sandaran fakta-fakta sekeliling.

Saya ketika ini sedang membaca buku bertajuk Alwaleed; mengisahkan tokoh perniagaan tersohor Putera Waleed Ben Talal. Buku tersebut menceritakan bagaimana beliau membuat percaturan didalam mengambil syer Citibank. Jika diamati wujud unsur yang saya katakan art of thinking tersebut bersama perasaan naluri.

Sekiranya beliau berfikir terlalu banyak saya yakin beliau tidak akan membeli syer didalam saham Citibank.

Ini juga perkara yang sering berlaku. Ramai kawan-kawan saya yang ingin memulakan perniagaan. Pada awalnya semangat berkobar-kobar tetapi setelah berfikir itu dan ini akhirnya semangat itu luntur. Atas dasar risiko, kewangan, motivasi, sokongan dan lain lain lagi lah maka usaha terus terbantut.

Maka saya katakan sekiranya anda berfikir terlalu banyak kadang kadang ia akan membantutkan usaha anda. Biarlah berfikir berteraskan asas. Jika mahu berniaga dan terlalu berfikir maka akhirnya apabila anda sedar rambut dikepala sudah kurang, anda sebenarnya masih menjadi 'makan gaji'.

Kurangkan berfikir dan lebihkan aksi. Didalam perjalanan tersebut anda pasti akan memperlajari sesuatu. Perniagaan asasnya bukanlah diatas kertas, tetapi lebih daripada aksi dan pengalaman.

My dear friend Anas, selamat menceburi alam perniagaan.

23 Disember 2008
Husam Waksa

Sunday, November 30, 2008

MESRA tetapi kurang mesra

Saya bersama seorang rakan, merangkap GM Deligateaux kepada Dato' A. Sani ada berbual tentang masalah mereka yang telah diarahkan oleh seorang pegawai MESRA untuk mengeluarkan semua produk mereka di MESRA Petronas. Alasannya kerana mereka adalah kategori pendatang haram kerana tidak berdaftar dengan Petronas.

Linda ada menyatakan rasa terkilan beliau kerana susah untuk menempatkan produk mereka di tempat yang bagus memandangkan syarat-syarat serta bayaran yang terpaksa ditanggung. Contohnya seperti MESRA tadi..... Bayaran listing fees satu hal, rack fees lagi. Kalaulah syarikat separa kecil seperti kami ini pon terpaksa memikirkannya dua kali apatah lagi syarikat-syarikat lain yang bermula menapak. Nampaknya dalam mimpi sajalah.

Cerita tadi sudah cukup untuk saya mula membuat kira-kira dan akhirnya apa yang dapat saya fikirkan hanyalah garu kepala sahaja dek kerana bajet yang sana sini tinggi.

Berbalik kepada cerita MESRA tadi, maka beberapa minggu lalu saya, Makteh and Pakteh telah ke Melaka untuk menghadiri program anjuran MECD. Disana saya telah diaturkan untuk bertemu bersama wakil MESRA. Jadi sebelum saya kesana sekali lagi saya bertemu dengan Linda untuk mendapatkan sedikit maklumat. Bak kata pepatah... tips dari beliau.

Maka sementelah saya disana, maka bermulalah sesi perkenalan saya bersama pegawai MESRA. Dalam perbualan bersama mereka, terdapat itu dan ini yang saya kurang bersetuju. Tetapi memandangkan kita yang hendak menjual dan mereka adalah dikira pelanggan maka saya mengiakan setiap butir perkara yang diperkatakan oleh mereka.

Dalam hati saya.... MESRA tetapi kurang mesra.

bersambung...

1 Disember 2008

Saturday, November 15, 2008

RAKAN KONGSI KAWAN

Baru-baru ini rakan baik saya baru kembali semula ke Muscat, Oman setelah hampir sebulan bercuti raya. Jangkamasa sebulan amat singkat untuk kami melakukan aktiviti bersama setelah hampir setahun kami berjauhan.

Kami berkawan semenjak dibangku sekolah dan dirasakan jangka masa tersebut cukup untuk kami mengenali hati budi masing-masing.

Saya teringat kata-kata beliau semasa didalam perjalanan ke cafe pada hari terakhir sebelum beliau berangkat ke Oman. Kini beliau sudah kenal siapa kawan sebenar dan siapa kawan setakat tempelan sahaja. Mungkin kami pernah berselisih pendapat dan sebagainya tetapi semua untuk tidak dijadikan kudis, maka hasilnya kami berkawan baik sehingga hari ini. Biar apa pun pendapat orang lain, tetapi yang penting hanya kami yang mengetahui hati budi kami sendiri.

Terlanjur cerita tentang kawan, ya sememangnya kami berkawan lama dan sebelum ini sememangnya kami pernah menjadi rakan kongsi bersama. Satunya didalam penternakan dan yang keduanya didalam mengusahakan restoran. Kedua-dua aktiviti perniagaan tersebut ada rakan kongsi ketiga.

Kedua-dua perniagaan tersebut tidak memberi pulangan yang baik ditengah jalan dan terpaksa ditutup. Malangnya atas dasar kurangnya semangat kawan, rakan kongsi ketiga untuk kedua-dua perniagaan menjadi keruh.... tetapi yang pasti kami tetap seperti dahulu, malah kisah-kisah lama menjadi jenaka diantara kami berdua.

Saya rasakan ramai usahawan diluar menjadikan rakan kongsi kawan sebagai asas pengukur untuk memulakan perniagaan.

Selalunya bermula dengan sembang-sembang dan akhirnya terjadi perjanjian tidak rasmi untuk berniaga bersama. Rutinnya juga apabila perniagaan bertambah maju maka timbul 'sok sek' dibelakang tanda tidak puas hati kerana seorang bekerja lebih dari yang lain. Sekiranya perniagaan tidak menjadi masing-masing akan dipersalahkan itu dan ini.

Ini sudah menjadi lumrah perniagaan kongsi dengan kawan.

Saya ingin berkongsi dengan pembaca, ketika keputusan terakhir untuk menutup perniagaan restoran, saya mempunyai beberapa pilihan. Tetapi pilihan yang saya pilih adalah muktamad dan saya gembira kerana pilihan saya adalah tepat.

Saya terfikir bahawa sebelum memulakan perniagaan bersama, kami sering bergembira bersama kesana sini. Apabila kami menjalankan perniagaan bersama, kami bertambah akrab kerana kesusahan terpaksa diharungi bersama. Walaubagaimanapun, kerana perniagaan jugalah kami sering bertegang leher dan bermasam muka.

Saya lihat bahawa, kedua-dua kami mempunyai pemikiran dan pendapat yang berbeza. Kualiti ini baik untuk sebuah pengurusan perniagaan, tetapi atas dasar sahabat kualiti ini kekadang boleh menyebabkan keadaan hubungan boleh keruh. Profesionalisme yang tinggi diperlukan bagi mengekang keadaan supaya tidak menjadi mudarat. Malangnya kami masih mentah didalam hal ini.

Maka keputusan yang saya ambil adalah biarlah kami menjadi kawan tetapi bukan menjadi rakan kongsi. Saya lebih sayangkan persahabatan yang kami bina lebih daripada sepuluh tahun.

Keadaan kami lebih baik dari dahulu.... malah saya katakan kualiti yang lebih erat diantara kami berdua. Kami bukan sekadar kawan biasa tetapi kawan yang sama-sama mendokong kejayaan berdua didalam apa jua keadaan. Biar apa orang kata tetapi hanya kami yang tahu.

Rakan kongsi kawan terlalu subjektif, yang pastinya biarlah buat pilihan yang tepat. Mulakan perniagaan dan pilih rakan kongsi bukan kerana kawan semata-mata, tetapi atas dasar merit dan kredibilitinya.

Husam Waksa
16 Nov 2008 (Sg Nibong)

Friday, October 3, 2008

cont... EPILOG RAKAN KONGSI CINTA

Sebelum ini saya sendiri pernah mempunyai hubungan CINTA yang tersimpan sebagai kenangan peribadi. Suka duka dan sebagainya masih menjadi lipatan kisah peribadi saya yang masih tersimpan. Cinta saya kepada insan tersebut tersangat utuh dan saya yakin ketika itu bukanlah hanya bak kata pepatah bertepuk sebelah tangan. Tetapi jodoh tak berpanjangan kami berpisah ditengah jalan.

Tetapi cinta terhadap dunia perniagaan juga telah lama sebati malah lebih utuh daripada cinta saya pada insan tersebut. Saya kenali cinta saya pada perniagaan lebih lama daripada beliau sendiri.

Atas dasar cinta kepada kedua-duanya maka tercetus beberapa idea untuk menyatukan kedua-duanya sekali supaya cinta saya tidak berbelah bahagi. Kami cuba menjalankan perniagaan bersama. Seingat saya beberapa kali kami cuba memulakan perniagaan.

Akhirnya kedua-dua lebur, kerana atas dasar cinta. Saya rasa buat masa ini biarlah kisah ini masih tersimpan sebagai kenangan peribadi saya. Cuma apa yang mesej ingin saya bawakan bahawa atas dasar cinta maka tercetuslah cinta kedua. Maka jadilah perjanjian rakan kongsi kerana atas dasar cinta.

Bak kata ramai rakan-rakan, rakan kongsi cinta ini agak mencabar. Takutkan masam mencuka dirumah terbawa ke tempat kerja dan masalah kerja terbawa kerumah. Malah tergigit sedikit dek masalah hubungan peribadi, rabak terbawa bawa ke tempat bekerja. Ini yang kita tidak mahu.

Contoh yang dapat saya ingat antara kisah Donald Trump dan bekas isteri pertamanya Ivana Trump. Hubungan rumah tangga mereka menjadi tegang kerana keadaan tegang di pejabat sebagai rakan kongsi terbawa-bawa hingga ke rumah. Akhirnya rumah tangga mereka terpaksa dikorbankan walaupun hingga kini, mereka masih menjadi rakan kongsi didalam perniagaan.

Tidak dinafikan juga ramai rakan kongsi berdasarkan cinta itu menjadi. Malah saya masih ingat cerita Dato’ Maznah sendiri (pengerusi Securiforce), beliau di pejabat menjadi bos dan rakan kongsi kepada suaminya, tetapi apabila pulang kerumah, suami mengambil alih menjadi bos pula. Baru rukun katanya. Mungkin ada baiknya apabila agama dan adat budaya memainkan peranan. Tetapi bunyinya memanglah mudah…

Masing-masing mempunyai pendapat yang berbeda. Tetapi saya lebih suka mengambil jalan selamat. Rakan kongsi CINTA akan saya jauhi. Cukup pengalaman lalu untuk saya hadapi dan saya dapat rasakan formula rakan cinta tetap kurang berkesan. Salah satu pasti terpaksa dikorbankan, cinta pada si dia ataupun pada niaga. Yang pasti cinta pada Yang Esa tetap hakiki.

Husam Waksa

25 September 2008 3.34 pagi

Monday, September 15, 2008

PROMOSI 'Kenapa Peniaga Kecil Masih Menjadi Peniaga Kecil'



Saya rasakan terlalu lama telah saya tinggalkan blog ini dan baru hari ini saya mempunyai kesempatan untuk terus menulis semula. Chapter yang lalu mengenai rakan kongsi masih tergantung dan saya berharap dapat disambung ceritanya selepas saya pulang ke KL.

Buat masa ini saya sudah hampir sebulan lebih berkampung di Pulau Pinang. Asalnya bagi menjayakan projek yang dirancang tetapi lain yang dirancang lain pula yang jadinya. Pada asalnya tujuan saya disini adalah bagi menyiapkan persiapan untuk sebuah projek pelancongan di Esplanade, Padang Kota Lama. Setelah penat membuat beberapa presentation yang boleh dikatakan hampir setiap minggu disini, tiba-tiba saya diarahkan oleh YB Timbalan Ketua Menteri untuk membantu bagi menjayakan program Souq Ramadhan, Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Kalau ditolak takut terkensel semua projek-projek lain, kalau diambil pula lain pula ceritanya. 3 hari 3 malam saya cuba membuat kira-kira cash flow masih belum nampak angka-angka yang boleh membuatkan saya selesa. Takpala... pejam mata buat saja. Saya ingat kata-kata nasihat Toksu saya, "buat elok-elok, untung tak banyak takpa, yang penting depa percaya kat kita".

Naik turun pejabat KOMTAR, MPPP dan macam-macam lagi seolah-olah saya kena masuk tribunal, tempat yang dicadangkan tidak direstui oleh MPPP dan seangkatan dengannya. Akhir sekali PISA juga yang menjadi mangsa. Dari awal lagi saya kurang yakin dengan tempat tersebut, tetapi apakan daya, dari Dato Zainal Rahim sampailah ke staff bawah semuanya rasanya dah jemu tengok muka saya. Saya pula seolah-olah bagaikan pegawai khas TKM cuba membawa usul kesana sini.

Kalau saya bangkang lagi dan berkeras dengan tempat yang saya mahukan nampaknya bulan Ramadhan terpaksa ditangguh kepada bulan Disember. Jadi terpaksa jugalah saya terima bulat-bulat walaupun ketika mesyuarat bersama setiausaha MPPP darah saya memang dah tersirap-sirap. Nasib baik mesyuarat tersebut Puan Timbalan UPEN tak ada, tidak pasti menyinga dia kat situ. Penolong Pengarah terkulat-kulat mendengar saya membantah itu dan ini.

Lain-lain hal politik sepak terajang di Pulau Pinang tak perlulah saya sebut disini. Ditambah lagi bala kedua.... kita hanya menguruskan program tersebut, sepatutnya para peniaga diuruskan oleh pihak yang berwajib lah. Tapi bila lagi 2 minggu nak masuk bulan puasa baru saya sedar yang seorang pon belum ada lagi. Adoi, saya ingat nak pi Mekah minta tangguhkan Bulan Ramadhan Februari 2009 pula.

Maka seluruh gerombolan pekerja dan sahabat handai Husam Waksa dikerah untuk mencari peniaga. Berjalanlah kami macam nak panggil kenduri kahwin, auta sunat wajib makruh semua pon keluarlah. Yang penting marketing kena chanteek. Dapatlah juga kumpul 70 orang lebih walaupun sasaran asalnya ialah 200 orang.

3 hari sebelum program bermula, peruntukan pula tak diluluskan. Dahulu RM30 ribu adalah untuk persiapan majlis perasmian tetapi RM30 ribu untuk segala-galanya. Aduh, memang saya duduk Penang termakan garam banyak, maka naiklah darah saya disini.

Akhirnya bajet untuk iklan hanyalah 4 ribu lebih sahaja..... ala kadar sajalah iklannya. Hasilnya ala kadar jugalah pengunjungnya ke PISA.

Hari pertama kedua, kuranglah pengunjung kerana terlalu awal, bila kurang pengunjung maka peniaga yang baru mula mencari pengalaman pon resah hati, hilang semangat dan adalah yang mula buka kedai macam lampu lip lap.

Hari-hari kemudiannya orang mula nak mengenali PISA, kedainya pula macam lopak air, ada bukak ada tutup, saya sendiri pon hilang semangat nak ajak kawan-kawan kesana. Hadoi... masalah lagi. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah peniaga yang benar-benar ingin berniaga.

Sekarang ini saya rasakan dan kurang dah power elektrik... tak lama lagi lampu lip lap mungkin terpadam. Semua ini adalah garapan 'circumstances' yang melibatkan semua pihak.

Pengajarannya... saya teringat suatu pembacaan saya ketika dahulu, mengapa pengusaha IKS tidak dapat berkembang dan kadang-kadang gagal dalam perniagaan.

PROMOSI, PROMOSI.... kos promosi selalu tiada dalam senarai bajet. Selalu dianggap membazir dan selalu dianggap tidak penting. Kalau ya pun hanya sekelumit sahaja peruntukan yang diberikan. Promosi dianggap macam anak tiri. Hasilnya... bagai kisah yang saya sebut diatas.

Oleh demikian, untuk program akan datang.... saya tahu apa yang perlu saya 'keriau' (sila rujuk kamus Mami Tanjung) kuat-kuat kepada depa semua ni. Bajet promosi kalau ciput, maaf saya tak mau ambil risiko. Sila buat sendiri.

Promosi tidak semestinya dalam jumlah yang besar, tetapi impaknya mestilah berkesan dan dapat sampai ke kumpulan sasaran yang ditujukan.

Harapan saya bloq seterusnya diharap dapat saya kupaskan kisah promosi ini lagi dengan ulasan yang lebih positif supaya dapat dikongsi atau diguna pakai oleh pembaca semua.

Selamat Menjalankan Ibadah Ramadhan

Husam Waksa

Friday, August 8, 2008

Kepercayaan

Kepercayaan adalah suatu subjek yang penting didalam kehidupan. Saya ingin menyentuh ringkas sahaja tentang topik ini.

Kepercayaan adalah tunjang utama didalam perhubungan sesama manusia. Apatah lagi didalam hubungan perniagaan. Kepercayaan terletak dihadapan sekali sebelum sesuatu perhubungan atau urus niaga bermula.

Saya sendiri mengaku pernah melakukan beberapa kesilapan didalam hidup yang melibatkan tentang kepercayaan. Ada ketika saya kehilangan kepercayaan kerana kedaifan serta kejahilan diri sendiri. Ada ketikanya saya hilang kepercayaan kerana kesilapan orang lain mahupun salah faham. Ada kalanya saya hilang kepercayaan kerana kelalaian. Saya juga pernah hilang kepercayaan kerana pihak lain tidak memahami situasi atau menyalah tafsir sesuatu situasi yang akhirnya adalah berbalik kepada kelalaian diri sendiri. Tetapi semua ini membantu didalam perjalanan hidup saya supaya kehidupan akan datang saya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dalam erti kata lain 'mematangkan hidup saya'. Ini yang kita perlukan dan inilah sebenarnya hakikat apabila meningkat umur... matang.

Saya mempunyai dua individu yang mempengaruhi didalam aturan subjek kepercayaan. Ibu saya mengajar agar meletakkan kepercayaan di awal perhubungan atau urusan, kemudian faktor faktor lain diambil kira bagi menilai samada patut individu itu dipercayai atau tidak. Abang ipar mengajar saya agar meletakkan tidak percaya atau was was di peringkat awalan dan seterusnya faktor faktor lain akan diambil kira samada untuk mempercayai ataupun tidak.

Selalunya saya mengikut nasihat ibu saya dimana naluri saya sendiri lebih terarah untuk bersangka baik dan percaya kepada orang. Kadangkala orang kata saya ni terlalu lurus. Tetapi didalam meletakkan baik sangka saya mempunyai fikiran yang kontra.

Saya bersangka baik dan dalam masa yang sama saya memerhati. Mungkin ini adalah hasil kematangan setelah saya pernah kehilangan kepercayaan mahupun saya hilang percaya kepada seseorang.

Beberapa bulan yang lalu, saya ada bertemu beberapa orang rakan lama ketika disekolah Maahad Al Mashoor Al Islami, Pulau Pinang. Salah seorang sahabat saya adalah sahabat lama yang saya anggap sebagai salah seorang sahabat yang begitu rapat ketika disekolah.

Jadi topik kepercayaan timbul disini, saya meletakkan kepercayaan kepada individu tersebut pada awal perhubungan. Tetapi dalam masa yang sama, saya masih mengingati yang kami pernah mempunyai sejarah hilang kepercayaan ketika disekolah dahulu. Beliau pernah menjadi 'Penasihat' didalam beberapa perkara tetapi sebaliknya nasihat tersebut memakan diri saya malah memberi keuntungan terhadap beliau. Saya tidak salahkan beliau kerana salahnya adalah diri saya sendiri kerana ketika itu saya masih mentah.
Beliau juga terkenal kerana pandai mengawal keadaan serta memanipulasi situasi. Kalau disebut namanya pasti ibu saya tidak menggalakkan untuk berhubung dengan beliau lagi atas sebab sebab sejarah lama. Beliau sendiri juga pernah meminta ibu saya melakukan sesuatu dan memutar belit keadaan. Mungkin beliau sendiri sudah lupa dengan kisah tersebut.

Apa yang ingin saya kongsi disini adalah saya meletakkan kepercayaan diawal perhubungan. Tetapi saya juga meletakkan tidak percaya berdasarkan kepada kisah kisah lama. Mungkin beliau masih memikirkan yang saya adalah individu yang naif atau 'bodoh' seperti yang beliau kenal semasa dahulu.

Saya agak simpati dengan keadaan beliau. Dalam masa yang sama saya juga ada mendengar cerita-cerita beliau tetapi saya juga mendapat maklumat yang kontra dari sumber rakan rakan yang lain termasuk ibunya sendiri.

Peluang demi peluang saya berikan dengan memberi cadangan dan usul agar beliau bekerja bersama syarikat. Dalam masa yang sama ketika beliau tinggal bersama saya saya rasakan kematangan yang saya ada cukup untuk memberikan saya tafsiran dan kesimpulan. Tetapi saya berminat untuk melihat sejauh manakah tafsiran saya itu meleset.

Rakan-rakan yang lain hatta rakan yang baru mengenali beliau sudah dapat membuat tafsiran awalan. Mereka memeberikan nasihat yang bersangka negatif.

Seperti yang saya katakan tadi, biar saya berikan peluang.

Ketika saya di Sarawak, saya ada berbincang bersama keluarga tentang hal ini dan nasihat yang diberikan, jangan ambil risiko. Jadi saya ambil keputusan ketika pulang yang saya sudah buat keputusan muktamad bahawa saya tak dapat membantu beliau lagi melainkan beliau sendiri mesti berubah dan membantu dirinya sendiri.

Setelah sampai dari KLIA, beliau memberikan keputusan mengejut yang beliau ingin bekerja dengan saya. Saya terima dengan hati terbuka dan beri peluang keempat kepada beliau.

Seperti yang saya jangkakan, tidak cukup 24 jam beliau hilang entah kemana, bersama kunci pejabat, kepercayaan, wang rakan baik beliau dan sebuah video kamera rakan baik beliau yang beliau sendiri tanyakan kepada saya untuk menggadai kononnya bagi membantu rakannya.

Tuan-tuan sekalian boleh membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang dapat kita pelajari dari kisah ini.

Sahabat!

Kiranya saudara membaca mesej ini, saya harapkan bukalah pintu hati anda. Sekiranya saudara hanya menyalahkan orang sekeliling dan bukannya diri sendiri, percayalah nasib anda tak akan berubah sampai bila-bila. Saya bukanlah dari keluarga kaya raya, tetapi agak senang juga. Saya sayangkan ibu saya dan saya akan pastikan saya tidak menyusahkan keluarga hatta ketika saya dalam kesempitan.

Saudara bukan dari keluarga yang senang. Janganlah menjadi kurang matang, belajarlah dari kesilapan lama kerana jika kita tidak belajar dan berubah maka hidup kita akan merana sampai bila bila. Pulanglah kerumah satu hari dengan penuh kebanggaan tanpa membuat hati ibu bapa kita susah.

Carilah kerja yang dapat menampung makan, minum dan rokok. Buatlah apa aktiviti yang anda suka sekarang, tetapi janganlah libatkan ibu bapa mahupun orang lain. Saya tahu apa yang dah berlaku dan keluarga saudara sendiri ada menceritakan luahan hati mereka. Seribu dua ribu untuk keluarga saudara adalah besar...... inikan pula lebih dari itu.

Kalau benar saudara sayangkan keluarga seperti yang saudara cakapkan pada saya. berubah dari sekarang. Berhenti bercakap bohong, kotakan janji, kerja kuat dan disiplin. Insyallah hidup saudara akan senang.

Maafkan saya jika ada salah silap. Yang baik itu dari allah dan yang buruk itu dari kelemahan diri saya.

Kiranya diikutkan hati ingin saya ceritakan semuanya tetapi airmuka ibu saudara... tak dapat saya tahan, beliau adalah IBU.... sayangkan anak. Jangan salah gunakan kesayangan ibu untuk rosakkan hatinya.

Saya berharap tahun depan saya melawat saudara..... saya dapat ceritakan kepada rakan-rakan baik yang lain bahawa saudara sudah berubah dan saya dapat ceritakannya dengan penuh kebanggaan..............

daripada
Sahabatmu

Husam Waksa

Friday, July 11, 2008

Kategori Rakan Kongsi: Part 1


Ketika ini saya sedang berada di Kampung Budaya Sarawak, kali pertama menjejakkan kaki ke bumi kenyalang. Banyak perkara baru yang saya dapat perhatikan, daripada keadaan sosio ekonomi, budaya yang pelbagai, bahasa yang berbeza dan yang penting tentulah peluang-peluang perniagaan yang dapat dilihat disini.

Tidak dapat nafikan kemungkinan kerana jarak antara dua tanah besar memungkinkan berlaku pengasingan dalam aktiviti perdagangan diantara Serawak, Sabah dan Semenanjung.

Semasa di airport saya ada menerima SMS daripada kakak saya, 'jangan lupa beli roti gardinea inti ikan bilis, jangan terkejut pula'. Memang saya akan terkejut, kenapa kena beli roti disini. Di Sarawak tak adakah! Apabila saya ke tingkat 3 KLIA, saya lihat ramai muka-muka yang lebih kurang boleh di agak dari Sarawak memborong roti tersebut seolah-olah akan berlaku kemarau tanpa makanan. Saya meringankan mulut untuk bertanya 'kakak mahu pulang ke Kuching ke?'.Kakak tersebut tersenyum tanda jawapan ya. ' Eh banyak beli roti kak' tambah saya lagi. ' Iya dik sana Sarawak tak ada'. Jawapan tersebut cukup itu memberikan gambaran yang bercampur antara terkejut dan gelihati.

Mungkin anda sangkakan saya ke Serawak kerana ingin bercuti. Tujuan kesana kerana mengikuti program Rainforest World Music Festival yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai. Saya ada membuka sebuah booth disana bagi mempromosikan jenama HUSAMWAKSA seterusnya bagi memperkenalkan model dan melihat prospek di Sarawak sendiri. Bahagian promosi mungkin hanya 10% sahaja tetapi bakinya lebih kepada untuk menziarah kakak saya di Kuching dan melihat-lihat kota Kuching kerana ini adalah kali pertama saya ke sini.

Semasa di booth nampaknya hanya saya seorang yang solo sedangkan yang lain dalam pasangan mahupun kumpulan. Nampaknya semuanya ada rakan kongsi disini. Nasib baik ada seorang kenalan baru sudi menemankan saya seterusnya jadilah kami rakan kongsi tidak rasmi.

Dalam kepanasan saya terlintas beberapa point yang ingin saya sambungkan bicara tentang rakan kongsi.

Faktor-faktor rakan kongsi biasanya dipengaruhi oleh beberapa keadaan dan situasi. Faktor ini sebenarnya sudah biasa dan selalu dipraktikkan oleh hampir semua orang. Kita lihat rakan kongsi dapat dibahagikan kepada beberapa kategori dan dipengaruhi oleh beberapa faktor:

1. Rakan kongsi CINTA
2. Rakan kongsi KAWAN
3. Rakan kongsi IDEA
4. Rakan kongsi FULUS
5. Rakan kongsi TIDUR
6. Rakan kongsi SYAITAN

11 Julai 2008

Husamwaksa

Thursday, July 3, 2008

RAKAN KONGSI

Di dalam perniagaan mempunyai rakan kongsi adalah menjadi sebahagian daripada perkara penting yang perlu dititikberatkan. Kadang kala rakan kongsi wujud atas kerana perkongsian idea ataupun minat dua individu lalu tercetus kepada keputusan untuk menterjemahkan idea tersebut kepada suatu perniagaan.

Untuk perniagaan jenis kecil-kecilan perkongsian adalah menjadi pilihan kepada individu tersebut samada untuk menjadikannya perniagaan perkongsian ataupun perniagaan tunggal. Perniagaan ini kalau di negara kita lebih sinonim dikenali sebagai enterprise walaupun sebenarnya tidak banyak orang yang faham bahawa enterprise itu sendiri terbahagi kepada dua kategori.

Tetapi sekiranya anda mempunyai sebuah syarikat ‘corporation’ atau syarikat sendirian berhad, mempunyai dua orang pengarah adalah syarat minimum untuk menubuhkan sebuah syarikat. Maka disini akan timbul isu untuk memilih siapa yang patut untuk dijadikan sebagai rakan kongsi.

Suka untuk saya bincangkan bab ini kerana sepanjang saya menceburkan diri didalam perniagaan samada kecil, sederhana mahupun besar, rakan kongsi adalah salah satu tajuk prima didalam perjalanan peribadi hidup perniagaan saya. Saya yakin bab ini juga merupakan bab yang penting bagi usahawan-usahawan yang lain.

Rakan kongsi boleh buatkan anda rasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk mulakan perniagaan, rakan kongsi juga dapat buatkan anda tidak lena tidur malam, kadang-kadang rakan kongsi jugalah yang akan membuatkan anda sengsara seumur hidup. Jadi saya yakin subjek rakan kongsi itu penting didalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Idea untuk membincangkan subjek ini sebenarnya tercetus ketika tahun lepas lagi sekitar bulan November 2007. Ketika itu saya, rakan kongsi dan rakan baik saya Raof, dan seorang lagi rakan kongsi saya untuk perniagaan yang telah kami cuba jalankan semenjak tahun 2004 menghadapi sedikit ketegangan. Sebenarnya perniagaan tersebut telah menghadapi masalah yang agak teruk setelah sekian lama lagi. Tetapi hanya ketika itu kami berpeluang dan membuat keputusan untuk bersemuka dan berbincang untuk kata putus.

Saya rasa tidak perlulah dinyatakan apa intipati perbincangan tersebut disini, tetapi ekoran daripada perbincangan tersebut saya sempat membuat catatan tentang topik yang akan kita bincangkan hari ini. RAKAN KONGSI.

HUSAMWAKSA

Friday, June 20, 2008

LAWATAN PERIBADI TKM 1 PULAU PINANG, coretan peribadi















19 Jun 2008, Pembentangan kertas kerja cadangan untuk pembangunan projek pelancongan di Pulau Pinang serta beberapa projek lain untuk negeri.

Perbincangan melibatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, YB Tuan Mohamad Fairus Khairuddin dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pulau Pinang, Puan Hafidzah Hassan, Firdaus eksekutif operasi dan saya sendiri.

Buat masa ini biarlah butiran lanjut perbincangan tersebut tidak dibincangkan lagi. Tetapi apa yang saya ingin tekankan disini, perkenalan pertama bersama Yang Berhormat TKM 1 pada 15 April, ketika itu majlis tahlil anjuran Majlis Agama Islam Negeri oleh pengerusi yang juga kenalan baik saya Dato’ Nor Mohamad Becker sempena hari ulang tahun keputeraan tok tersayang di masjid negeri.

Keesokan harinya saya langsung mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau. Bermula dari situ kami mula rapat dan mengenali antara satu sama lain. Secara peribadi melalui perwatakan beliau jelas melihatkan bahawa beliau secara peribadi komited untuk memperjuangkan rakyat Pulau Pinang khususnya dan Malaysia dan yang pastinya bangsa Melayu di Pulau Pinang. Beliau sendiri mengatakan kepada saya, jangan mengganggu gugat hal-hal agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu kerana beliau adalah orang yang akan terkedepan akan memperjuangkannya. Beliau tidak segan silu untuk memperkatakannya hatta di hadapan YAB Ketua Menteri sendiri.

Secara peribadi ketika pengumuman keputusan pilihanraya lalu saya berasa amat sedih dengan kedudukan Pulau Pinang. Apa yang dikhuatirkan adalah nasib kami sebagai orang Melayu dan usahawan dan ahli perniagaan Melayu di Pulau Pinang.

Setakat ini apa yang saya berani luahkan adalah sekiranya Kerajaan Pulau Pinang kekal dengan cara pengurusan yang telus dan cekap, saya yakin Pulau Pinang dapat terus memacu pembangunan walaupun dianak tirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Apa yang saya harapkan suatu perubahan yang dapat membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk kita semua rakyat Malaysia.

Kata-kata diatas hanyalah cebisan komentar peribadi saya sahaja, pendirian politik saya adalah hak saya dan ia adalah rahsia. Luahan saya tidak menterjemahkan samada saya adalah penyokong mana mana parti politik tertentu, saya hanya sokong yang benar-benar boleh perjuangkan rakyat Malaysia.

Suka jua ingin saya sentuh tentang kemelut ketika ini. Memandangkan Tun Mahathir bukan lagi ahli mana-mana parti politik, suka saya nyatakan yang saya amat dukacita atas apa yang sedang berlaku ketika ini. Impaknya dapat saya rasakan ketika lawatan saya ke Bangkok dan Singapura baru-baru ini. Saya sayang dan kagumi Tun dan terasa rindu saat saat saya sendiri dihormati dan dikagumi kerana merupakan seorang rakyat Malaysia ketika melawat negara luar.

Sekian coretan ringkas saya hari ini, 21 Jun 2008

HUSAMWAKSA

Hari Hari Menentang Cabaran

Bisnes dan perniagaan bukanlah pilihan kerjaya seindah yang dikhabarkan. Rakan-rakan sering berkata kepada saya, ‘wah, jadi bos beruntunglah boleh buat apa suka’.

Secara asas saya rasa ramai dikalangan kita faham yang keusahawanan itu memang penuh cabaran. Bukan calang-calang cabaran dan bukan calang-calang orang dapat menempuh apatah lagi dapat bertahan dengan cabaran yang dilalui.

Ketika saya menulis ini ingin saya nyatakan saya benar-benar diambang penuh cabaran yang sangat runcing. Didalam keadaan bisnes yang tidak berjalan dengan baik, bisnes yang tidak menjadi seperti yang dirancang dan diharapkan. Untuk berpatah kembali kepada perniagaan asal yang sememangnya memberikan pulangan yang lumayan, kekurangan modal membantutkan hasrat dan usaha.

Saya hilang fokus seolah-olah mati akal apa yang patut saya lakukan. Selama enam hingga tujuh tahun saya bergelumang didalam bidang keusahawanan tidak pernah terlintas difikiran untuk berikhtiar mencari pekerjaan sementara bagi menampung hidup, tetapi kini persoalan ini tercetus.

Modal, fokus, pasaran, jenis perniagaan semuanya menjadi persoalan tanpa jawapan kepada saya. Saya dapat rasakan sudah hampir dua bulan persoalan tinggal persolan. Hati kental yang dahulunya sangat degil terasa seperti sudah tidak sekeras dahulu lagi. Semangat semakin kurang dan keyakinan diri saya hancur.

Perasaan tersebut mungkin beberapa detik yang lalu.

Saya berbesar hati dan sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya ubat pada minggu yang lalu. Terima kasih kepada Pak Syed dari MARA Pulau Pinang kerana membenarkan saya mengikuti rombongan ke PWTC untuk pelancaran Program Peruncitan peringkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri.

Niat utama kesana bukanlah kerana berminat dengan program tersebut, tetapi hanya sekadar ingin melihat dan mengintai peluang-peluang yang ada.

Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka PWTC penuh dengan rakan-rakan dan kenalan perniagaan lama. Masing-masing dengan pameran produk dan booth. Perasaan saya bercampur baur diantara cemburu melihat kejayaan rakan-rakan dan bangga serta berangan-angan suatu hari nanti saya pasti dapat duduk bersama mereka.

Apakah yang dikatakan penemuan ubat disini?

Sesiapa samada pelajar, ahli perniagaan, ahli politik, pekerja awam dan sebagainya pasti akan melalui saat-saat yang menggugat semangat dan kekuatan diri. Semangat hanya akan kembali sekiranya kena caranya dan tempatnya.

Seorang pelajar yang patah hati mungkin memerlukan seorang rakan karib untuk meluahkan perasaan dan masalah. Sekurang-kurangnya bebanan yang ditanggung dapat dikongsi bersama.

Saya yakin sebagai seorang usahawan dan ahli perniagaan, masalah yang dihadapi oleh orang berniaga hanya akan difahami oleh orang yang sememangnya berniaga juga. Kita mungkin dapat berkongsi masalah dengan rakan karib, ahli keluarga mahupun yang tersayang tetapi sekiranya mereka bukan orang berniaga, mereka tidak dapat memahami masalah kita secara mendalam dan cara mereka sememangnya akan berbeza.

Berdampinglah dengan rakan-rakan yang berniaga. Setidak-tidaknya rakan perniagaan yang hampir serupa dengan kita. Inilah yang saya katakana ubat tadi. Rakan-rakan lama yang ketemu di PWTC sebenarnya merupakan ubat kepada hati saya. Banyak perkara yang dapat dikongsi dan banyak idea serta buah fikiran dapat kita peroleh sekiranya kita berkongsi bersama rakan-rakan kita yang sememangnya golongan yang saya katakana ‘orang berniaga’. Kadang-kadang kita rasakan ujian yang kita lalui sudah cukup berat untuk ditanggung, tetapi jika kita berkongsi pengalaman dan cerita baru kita sedari sebenarnya ujian yang kita lalui kecil sahaja.

Konsep ini bunyi terlalu mudah dan saya pasti semua orang tahu. Tetapi tidak ramai yang mempraktikkan kerana selalunya jika perniagaan menghadapi masalah, kita selalunya akan menghindarkan diri daripada rakan-rakan lain atas dasar rasa rendah diri mahupun perasaan malu.

Saya percaya konsep ini dipraktikkan sekian lama oleh ahli peniaga Cina melalui konsep Bamboo Networking. “Sistem Payung” atau membantu peniaga lain sangat berkesan malah inilah sebenarnya konsep fundemantel perniagaan Islam!

Ditulis pada pertengahan tahun 2007

HUSAMWAKSA

Kenapa Graduan Menanggur

Setiap orang graduan setelah tamat pengajiannya soalan yang selalu akan ditanya kepada mereka adalah apa nak buat lepas ni? Atau dah dapat kerja? Atau mungkin juga kerja di syarikat mana.

Jadi bagi graduan yang masih belum dapat menempatkan diri dimana mana syarikat samada syarikat kecil mahupun yang mencapai status multinasional maka selalunya akan berbunyi suara mengeluh kerana masih belum mendapat tawaran pekerjaan. Isu ini bukan lagi merupakan isu individu atau masalah kelompok keluarga, malah ia sudah menjadi isu nasional dan dibincangkan didalam dewan rakyat dan kebinet. Kumpulan ini dinamakan graduan menganggur.

Aduh sakit hati apabila saya mendengar perkataan ini. Malah saya yakin rakan-rakan lain lebih sakit hati jika dipanggil dengan gelaran tersebut.

Secara amnya seseorang yang sudah tamat pengajian dan masih belum bekerja dimana mana syarikat akan dipanggil sebagai graduan menganggur.

Kini umur saya sudah mencecah 26 tahun, dan ketika ini sekiranya terserempak dengan mana mana kenalan lama soalan pertama yang akan saya terima begitu juga soalan yang sama yang akan saya ajukan adalah 'kerja kat mana sekarang'. Memandangkan saya dahulu belajar di Universiti yang hanya menawarkan program kejuruteraan, maka nama-nama seperti PETRONAS, SHELL, Schlumberger, Technip, RNZ selalu didengar.

Maksudnya mereka bekerja dimana-mana syarikat sebagai eksekutif, pegawai dan sebagainya. Jadi sekiranya saya diajukan soalan yang sama, maka apa yang akan saya jawab adalah saya masih belum bekerja. Saya tidak bekerja kerana saya tidak terikat dengan mana mana syarikat.

Saya tidak bekerja juga kerana saya tidak dibayar atau menerima gaji sebagai eksekutif.

Kasihan....

Saya adalah seorang penganggur lah namanya

Tetapi saya memang tidak bekerja kerana saya tidak bekerja untuk orang. Saya juga tidak bekerja untuk diri sendiri. Saya juga tidak bekerja sendiri. Tetapi mengusahakan sesuatu untuk diri sendiri, orang dan negara. Jadi saya rasakan perkataan yang sesuai adalah saya adalah seorang usahawan.

Duit tak banyak tapi dari segi zahiriahnya dimata rakan-rakan mungkin sikit juga ada lebih. Maka perkataan yang selalu diguna pakai adalah kaya. Orang kaya selalu dikaitkan dengan juta juta dan dipanggil jutawan.

Saya tak bekerja maka saya seorang penganggur, tetapi saya ada lebih sikit duit bolehlah dipanggil kaya. Sayu mahu jadi jutawan.

Apa salahnya saya namakan saya adalah Graduan Menganggur Jutawan.

Siapa tahu!

HUSAMWAKSA

FIRST DIARY: Sekapur sirih seulas pinang

Setiap kali saya dalam perjalanan samada dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau sebaliknya salah satu destinasi wajib yang perlu saya singgah adalah Ipoh dan tempat utama yang perlu saya lawati adalah Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Disana menjadi pengubat rindu mengembalikan nostalgia ketika dialam mahasiswa. Boleh dikatakan hampir seluruh warga UTP mengenali saya atau saya mengenali mereka daripada Rektor (ketika ini Timbalan Pengerusi Pendidikan PETRONAS, Dato’ Dr Rosti Sarowono) hinggalah makcik cleaner. Blok yang wajib dilawati semestinya blok 21. Disana merupakan tempat berkumpul, pejabat bekas pensyarah pensyarah kegemaran yang kini bukan sahaja sekadar bekas pensyarah saya tetapi sudah menjadi kawan, teman bahkan seperti kakak dan abang kandung tempat meluah perasaan dan berkongsi cerita.

Seperti biasa, aktiviti rutin ketika melawat Bandar Seri Iskandar adalah makan tengah hari serta mendera Puan Noni atau lebih mesra dipanggil Akak Noni untuk belanja makan. Teringat untuk singgah di bangunan lama ACS, saya berselisih dengan Puan Azizan, bekas pensyarah Foundation Math I dan II. Kali ini beliau menyapa saya dan baliau teruja untuk mengetahui perkembangan anak didiknya. Beliau menjemput saya ke bilik beliau di tingkat atas dan perbualan kami menjadi rancak. Puan Azizan masih seperti dahulu, ceria penuh senyuman dan wajah keibuan. Sekali sekala saya cuba mencuri untuk memandang lirik mata beliau yang lembut membuatkan hati tenang teringatkan bonda.

Perbualan bertukar dari satu topik ke topik yang lain tanpa noktah. Kisah pelajar junior UTP meninggalkan kesan kepada saya sehingga hari ini. Syazwan yang saya hanya berkesempatan mengenali beliau hanya beberapa ketika dan kami pernah didalam satu kumpulan yang sama mewakili UTP ketika pertandingan Kem Ekonomi ala Apprentice seingat saya pada tahun 2004.

Syazwan menjadi buah mulut dikalangan pelajar hinggalah pensyarah di UTP kerana usaha beliau telah berjaya menghasilkan buku mengenai perniagaan internet. “ Kita saban tahun menghasilkan penyelidikan, tesis dan kertas kerja dan bertimbun-timbun dalam simpanan, tetapi saya malu seorang budak daripada pelajar kita sendiri telah berjaya menghasilkan sebuah buku sedangkan saya sendiri tidak pernah membukukan hasil kerja saya”. Keluh Puan Azizan menyatakan kekecewaannya. “Husam, awak patut tulis, kongsi cerita awak kepada kawan-kawan yang lain”. “Err… tapi puan saya rasa saya masih belum layak puan. Apalah sangat cerita yang dapat saya ceritakan, bisnes pon tak seberapa inikan pulak nak dikongsi untuk rujukan orang lain”, jawab saya ragu-ragu.

Sahingga ketika ini saya masih ingat perbualan tersebut dan sehingga saat ini perasaan ragu-ragu masih bermain difikiran saya. Tapi ada betulnya juga kata-kata Puan Azizan yang saya anggap seperti ibu saya sendiri. Masih banyak rakan-rakan dan pelajar lain yang ingin berniaga tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Saya masih ingat ramai rakan-rakan yang datang kepada saya bertanyakan pendapat dan meminta nasihat untuk memulakan perniagaan. Malah ada yang mempelawa untuk berkongsi modal dan sebagainya. “Husam takkan takda lubang sikit kot nak share dengan kitaorang”. Kadang- kadang saya menjadi buntu tak tahu apa yang sepatutnya saya perlu katakan. Seperti yang telah saya katakan saya masih belum layak untuk berbicara didalam hal ini. Perniagaan masih dalam peringkat mengenal dunia inikan pulak untuk memberi nasihat kepada orang lain.

Jika dihitung skor pencapaian peribadi terlalu banyak kegagalan dan kekecewaan yang telah saya lalui didalam perniagaan berbanding kejayaan. Kadang-kadang hati terdetik masih sempatkah untuk saya berpatah balik menjadi seperti rakan-rakan yang lain. Bekerja dengan gaji yang tetap, penuh dengan faedah insentif syarikat dan lain –lain lagi.

Tetapi saya sudah nekad. Sayu tahu apa yang saya impikan. Saya mempunyai visi dan matlamat sendiri. Inilah yang saya mahukan dan perkara yang memberi kepuasan kepada saya semenjak kecil lagi. Jadi saya tidak akan pernah berasa kecewa atau menyesal atas apa jua kisah perjalanan peribadi saya.

Akhirnya hari ini saya benar-benar menyahut cabaran Puan Azizan. Saya mula menulis kisah-kisah kecil peribadi saya untuk dikongsi dengan pembaca semua.

Sekiranya anda mencari sebuah buku tentang langkah-langkah untuk memulakan perniagaan atau cara-cara untuk berniaga dan menjadi kaya anda mungkin tersalah pilih. Jika anda juga merupakan ahli perniagaan yang memiliki sebuah perniagaan yang baik kemungkinan buku ini tidak sesuai untuk dibaca oleh anda. Apapun, apa salahnya sekiranya anda ingin membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini sebagai bahan ringan disamping memberatkan lagi poket saya dengan wang royalti. Terima kasih.

Tetapi sekiranya anda masih tertanya-tanya apa yang hendak dilakukan kemungkinan kisah-kisah hidup saya dapat dijadikan sebagai panduan kecil. Saya sengaja mengolah buku ini agar tidak menjadi terlalu stereotaip seperti buku-buku lain yang pernah saya baca. Buku ini lebih terarah kepada sebuah kisah hidup yang meminta pembaca untuk berfikir serta mengadaptasikan sendiri nilai-nilai yang cuba saya sampaikan. Semoga kisah suka duka saya memulakan perniagaan dapat menjadi panduan dan tips kepada anda. Saya suka kepada prinsip memberi pancing daripada memberi terus ikan untuk dimasak masakan yang enak-enak.

Terimalah buah tangan daripada saya, DIARI GRADUAN MENGANGGUR, tidak bekerja dan tidak pernah bekerja tetapi kaya.

Ditulis pada 10 April 2007

HUSAMWAKSA