Friday, August 8, 2008

Kepercayaan

Kepercayaan adalah suatu subjek yang penting didalam kehidupan. Saya ingin menyentuh ringkas sahaja tentang topik ini.

Kepercayaan adalah tunjang utama didalam perhubungan sesama manusia. Apatah lagi didalam hubungan perniagaan. Kepercayaan terletak dihadapan sekali sebelum sesuatu perhubungan atau urus niaga bermula.

Saya sendiri mengaku pernah melakukan beberapa kesilapan didalam hidup yang melibatkan tentang kepercayaan. Ada ketika saya kehilangan kepercayaan kerana kedaifan serta kejahilan diri sendiri. Ada ketikanya saya hilang kepercayaan kerana kesilapan orang lain mahupun salah faham. Ada kalanya saya hilang kepercayaan kerana kelalaian. Saya juga pernah hilang kepercayaan kerana pihak lain tidak memahami situasi atau menyalah tafsir sesuatu situasi yang akhirnya adalah berbalik kepada kelalaian diri sendiri. Tetapi semua ini membantu didalam perjalanan hidup saya supaya kehidupan akan datang saya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dalam erti kata lain 'mematangkan hidup saya'. Ini yang kita perlukan dan inilah sebenarnya hakikat apabila meningkat umur... matang.

Saya mempunyai dua individu yang mempengaruhi didalam aturan subjek kepercayaan. Ibu saya mengajar agar meletakkan kepercayaan di awal perhubungan atau urusan, kemudian faktor faktor lain diambil kira bagi menilai samada patut individu itu dipercayai atau tidak. Abang ipar mengajar saya agar meletakkan tidak percaya atau was was di peringkat awalan dan seterusnya faktor faktor lain akan diambil kira samada untuk mempercayai ataupun tidak.

Selalunya saya mengikut nasihat ibu saya dimana naluri saya sendiri lebih terarah untuk bersangka baik dan percaya kepada orang. Kadangkala orang kata saya ni terlalu lurus. Tetapi didalam meletakkan baik sangka saya mempunyai fikiran yang kontra.

Saya bersangka baik dan dalam masa yang sama saya memerhati. Mungkin ini adalah hasil kematangan setelah saya pernah kehilangan kepercayaan mahupun saya hilang percaya kepada seseorang.

Beberapa bulan yang lalu, saya ada bertemu beberapa orang rakan lama ketika disekolah Maahad Al Mashoor Al Islami, Pulau Pinang. Salah seorang sahabat saya adalah sahabat lama yang saya anggap sebagai salah seorang sahabat yang begitu rapat ketika disekolah.

Jadi topik kepercayaan timbul disini, saya meletakkan kepercayaan kepada individu tersebut pada awal perhubungan. Tetapi dalam masa yang sama, saya masih mengingati yang kami pernah mempunyai sejarah hilang kepercayaan ketika disekolah dahulu. Beliau pernah menjadi 'Penasihat' didalam beberapa perkara tetapi sebaliknya nasihat tersebut memakan diri saya malah memberi keuntungan terhadap beliau. Saya tidak salahkan beliau kerana salahnya adalah diri saya sendiri kerana ketika itu saya masih mentah.
Beliau juga terkenal kerana pandai mengawal keadaan serta memanipulasi situasi. Kalau disebut namanya pasti ibu saya tidak menggalakkan untuk berhubung dengan beliau lagi atas sebab sebab sejarah lama. Beliau sendiri juga pernah meminta ibu saya melakukan sesuatu dan memutar belit keadaan. Mungkin beliau sendiri sudah lupa dengan kisah tersebut.

Apa yang ingin saya kongsi disini adalah saya meletakkan kepercayaan diawal perhubungan. Tetapi saya juga meletakkan tidak percaya berdasarkan kepada kisah kisah lama. Mungkin beliau masih memikirkan yang saya adalah individu yang naif atau 'bodoh' seperti yang beliau kenal semasa dahulu.

Saya agak simpati dengan keadaan beliau. Dalam masa yang sama saya juga ada mendengar cerita-cerita beliau tetapi saya juga mendapat maklumat yang kontra dari sumber rakan rakan yang lain termasuk ibunya sendiri.

Peluang demi peluang saya berikan dengan memberi cadangan dan usul agar beliau bekerja bersama syarikat. Dalam masa yang sama ketika beliau tinggal bersama saya saya rasakan kematangan yang saya ada cukup untuk memberikan saya tafsiran dan kesimpulan. Tetapi saya berminat untuk melihat sejauh manakah tafsiran saya itu meleset.

Rakan-rakan yang lain hatta rakan yang baru mengenali beliau sudah dapat membuat tafsiran awalan. Mereka memeberikan nasihat yang bersangka negatif.

Seperti yang saya katakan tadi, biar saya berikan peluang.

Ketika saya di Sarawak, saya ada berbincang bersama keluarga tentang hal ini dan nasihat yang diberikan, jangan ambil risiko. Jadi saya ambil keputusan ketika pulang yang saya sudah buat keputusan muktamad bahawa saya tak dapat membantu beliau lagi melainkan beliau sendiri mesti berubah dan membantu dirinya sendiri.

Setelah sampai dari KLIA, beliau memberikan keputusan mengejut yang beliau ingin bekerja dengan saya. Saya terima dengan hati terbuka dan beri peluang keempat kepada beliau.

Seperti yang saya jangkakan, tidak cukup 24 jam beliau hilang entah kemana, bersama kunci pejabat, kepercayaan, wang rakan baik beliau dan sebuah video kamera rakan baik beliau yang beliau sendiri tanyakan kepada saya untuk menggadai kononnya bagi membantu rakannya.

Tuan-tuan sekalian boleh membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang dapat kita pelajari dari kisah ini.

Sahabat!

Kiranya saudara membaca mesej ini, saya harapkan bukalah pintu hati anda. Sekiranya saudara hanya menyalahkan orang sekeliling dan bukannya diri sendiri, percayalah nasib anda tak akan berubah sampai bila-bila. Saya bukanlah dari keluarga kaya raya, tetapi agak senang juga. Saya sayangkan ibu saya dan saya akan pastikan saya tidak menyusahkan keluarga hatta ketika saya dalam kesempitan.

Saudara bukan dari keluarga yang senang. Janganlah menjadi kurang matang, belajarlah dari kesilapan lama kerana jika kita tidak belajar dan berubah maka hidup kita akan merana sampai bila bila. Pulanglah kerumah satu hari dengan penuh kebanggaan tanpa membuat hati ibu bapa kita susah.

Carilah kerja yang dapat menampung makan, minum dan rokok. Buatlah apa aktiviti yang anda suka sekarang, tetapi janganlah libatkan ibu bapa mahupun orang lain. Saya tahu apa yang dah berlaku dan keluarga saudara sendiri ada menceritakan luahan hati mereka. Seribu dua ribu untuk keluarga saudara adalah besar...... inikan pula lebih dari itu.

Kalau benar saudara sayangkan keluarga seperti yang saudara cakapkan pada saya. berubah dari sekarang. Berhenti bercakap bohong, kotakan janji, kerja kuat dan disiplin. Insyallah hidup saudara akan senang.

Maafkan saya jika ada salah silap. Yang baik itu dari allah dan yang buruk itu dari kelemahan diri saya.

Kiranya diikutkan hati ingin saya ceritakan semuanya tetapi airmuka ibu saudara... tak dapat saya tahan, beliau adalah IBU.... sayangkan anak. Jangan salah gunakan kesayangan ibu untuk rosakkan hatinya.

Saya berharap tahun depan saya melawat saudara..... saya dapat ceritakan kepada rakan-rakan baik yang lain bahawa saudara sudah berubah dan saya dapat ceritakannya dengan penuh kebanggaan..............

daripada
Sahabatmu

Husam Waksa

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum..
Saya membaca blog saudara untuk meninjau perkembangan IKS di Utara Tanah Air,bagaimanapun saya tertarik dengan satu arikel ini.
Saudara sangat beruntung kerana banyak pengalaman kejayaan saudara lalui dan capai walaupun di usia yang muda.
Mengenai kepercayaan di dalam agama kita juaga menekankan bahawa ia adalah asas dalam sesebuah persaudaraan.
Kepercayaan juga adalah mutlak dan tidak terikat dengan apa-apa hal Qarain yang lain.
Kepercayaan tidak boleh diminta atau dipaksa,ia hanya akan wujud berdasarkan niat dan amalan seseorang.
Di dalam perhubungan,niat seseorang muslim di dalam menjalinkan sesuatu perhubungan,sama ada persaudaraan atau muamalah di dalam perniagaan akan memberikan impak kepada perhubungan tersebut.
Sekiranya di awal permulaan ada terdetik niat yang 'negatif' di salah satu pihak,maka hasilnya adalah negatif.(-+-=-).Ini dipanggil Law of Attraction.Subhanallah.
Saya ingin mengingatkan diri saya dan saudara dan juga kepada sesiapa yang membaca di ruangan ini,Kepercayaan adalah hak milik mutlak individu.Dan hanya Allah yang dapat menilainya.
Dalam hal ini,saya berpendapat sekiranya kita berhajat menjalinkan persahabtan,persaudaraan ia adalah jihad.Maka permulaan niat mestilah suci dan tidak mempunyai 'prasangka' atau hipotesis terhadap peribadi saudara kita,atau membenarkan pandangan negatif daripada orang-orang lain yang tidak berkenaan menjadi pendorong keputusan.Seharusnya ini akan mengambil masa,tapi mesti ada usaha kedua-dua pihak.
Sekiranya terlalu cepat melatah dan membuat keputusan juga tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Tentang kawan saudara yang dimaksudkan,saya percaya beliau juaga ada ceritanya.(There are two sides to every story).Biarlah Allah yang menjadi Hakimnya
Jadi sebelum kita membuat taksiran atas seseorang berdasarkan 'circumstancial evidence' dan 'hear say' kita perlu tanya diri kita sendiri adakah kita layak mempercayai dan dipercayai.
Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi,guruh berdetum,halilintar membelah bumi,kilat sabung menyabung,belum tentu hujan akan turun.
Saya ada merenungkan kata-kata Ahlul Bait,Takdir adalah jalan yang gelap.tak perlulah kita mengambil tahu dengan berlebih-lebih kerana ia adalah urusan Allah.

Apa yang penting adalah persiapan kita untuk masa hadapan supaya tidak berlaku hal yang sama di kemudian hari.

Bersihkan hati,pasti hasilnya bersih dan begitu sebaliknya.

Selamat maju jaya...