Tuesday, December 23, 2008

When you think too much


Berfikir selalunya akan dikaitkan sebagai suatu kegiatan yang sihat. Saya pernah terdengar kata-kata yang mengatakan apabila orang sudah mula berhenti berfikir maka sebenarnya beliau sudah hampir kepada kematian.

Banyak daripada kalangan rakan-rakan saya dari kumpulan pesara, tetapi kelihatan penuh bertenaga dan sihat walafiat malah lebih baik daripada orang muda. Kuncinya hanya satu, mereka jarang kelihatan untuk bersara daripada berfikir.

Salah seorang negarawan yang sangat rapat adalah Dato' Kamarudin Kachar. Sudah beribu kertas kerja dan beratus konvensyen telah beliau anjurkan dan sehingga kini masih banyak program-program yang menanti giliran untuk dilaksanakan. Semestinya semua kerja-kerja tersebut memerlukan untuk berfikir. Sehingga hari ini saya secara peribadi ada terasa sedikit cemburu dengan beliau dek kerana aktifnya kehidupan beliau serta idea idea bernas yang sentiasa terpacul daripada mulut beliau ketika berbicara. Ditambah pula loghat noghoe yang jelas menambahkan lagi keistimewaan setiap butir percakapan beliau.

Bercakap tentang berfikir didalam perniagaan berfikir itu adalah sebahagian daripada aset. Kerana berfikir kita merancang strategi. Berfikir juga kita menyelesaikan masalah. Kerana berfikir juga kita dapat melipat gandakan keuntungan serta mengelakkan kerugian.

Kita akan berfikir sebelum membuat sebarang percaturan dan keputusan.

Tetapi didalam berfikir juga, saya percaya disini ada seni didalam berfikir. Saya lihat ramai daripada kalangan rakan-rakan perniagaan malah daripada cerita-cerita tokoh perniagaan dunia akan melakukan persediaan awal dengan mengkaji sesuatu perniagaan sebelum mengambil keputusan. Disini kita katakan sebagai berfikir.

Seperti yang saya katakan didalam perniagaan cara berfikirnya berbeza. Ada 'art of thinking' didalam dunia perniagaan itu sendiri. Seni itu pula secara asasnya metode nya hampir sama. Ahli perniagaan akan berfikir, membuat timbang tara, kajian dan seterusnya membuat keputusan. Tetapi yang kita tidak tahu didalam proses tersebut ada peratusan kecil yang lebih kepada keputusan 'naluri'. Mereka akan membuat keputusan berdasarkan perasaan. Tetapi perasaan itu berdasarkan sandaran fakta-fakta sekeliling.

Saya ketika ini sedang membaca buku bertajuk Alwaleed; mengisahkan tokoh perniagaan tersohor Putera Waleed Ben Talal. Buku tersebut menceritakan bagaimana beliau membuat percaturan didalam mengambil syer Citibank. Jika diamati wujud unsur yang saya katakan art of thinking tersebut bersama perasaan naluri.

Sekiranya beliau berfikir terlalu banyak saya yakin beliau tidak akan membeli syer didalam saham Citibank.

Ini juga perkara yang sering berlaku. Ramai kawan-kawan saya yang ingin memulakan perniagaan. Pada awalnya semangat berkobar-kobar tetapi setelah berfikir itu dan ini akhirnya semangat itu luntur. Atas dasar risiko, kewangan, motivasi, sokongan dan lain lain lagi lah maka usaha terus terbantut.

Maka saya katakan sekiranya anda berfikir terlalu banyak kadang kadang ia akan membantutkan usaha anda. Biarlah berfikir berteraskan asas. Jika mahu berniaga dan terlalu berfikir maka akhirnya apabila anda sedar rambut dikepala sudah kurang, anda sebenarnya masih menjadi 'makan gaji'.

Kurangkan berfikir dan lebihkan aksi. Didalam perjalanan tersebut anda pasti akan memperlajari sesuatu. Perniagaan asasnya bukanlah diatas kertas, tetapi lebih daripada aksi dan pengalaman.

My dear friend Anas, selamat menceburi alam perniagaan.

23 Disember 2008
Husam Waksa

No comments: