Thursday, July 3, 2008

RAKAN KONGSI

Di dalam perniagaan mempunyai rakan kongsi adalah menjadi sebahagian daripada perkara penting yang perlu dititikberatkan. Kadang kala rakan kongsi wujud atas kerana perkongsian idea ataupun minat dua individu lalu tercetus kepada keputusan untuk menterjemahkan idea tersebut kepada suatu perniagaan.

Untuk perniagaan jenis kecil-kecilan perkongsian adalah menjadi pilihan kepada individu tersebut samada untuk menjadikannya perniagaan perkongsian ataupun perniagaan tunggal. Perniagaan ini kalau di negara kita lebih sinonim dikenali sebagai enterprise walaupun sebenarnya tidak banyak orang yang faham bahawa enterprise itu sendiri terbahagi kepada dua kategori.

Tetapi sekiranya anda mempunyai sebuah syarikat ‘corporation’ atau syarikat sendirian berhad, mempunyai dua orang pengarah adalah syarat minimum untuk menubuhkan sebuah syarikat. Maka disini akan timbul isu untuk memilih siapa yang patut untuk dijadikan sebagai rakan kongsi.

Suka untuk saya bincangkan bab ini kerana sepanjang saya menceburkan diri didalam perniagaan samada kecil, sederhana mahupun besar, rakan kongsi adalah salah satu tajuk prima didalam perjalanan peribadi hidup perniagaan saya. Saya yakin bab ini juga merupakan bab yang penting bagi usahawan-usahawan yang lain.

Rakan kongsi boleh buatkan anda rasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk mulakan perniagaan, rakan kongsi juga dapat buatkan anda tidak lena tidur malam, kadang-kadang rakan kongsi jugalah yang akan membuatkan anda sengsara seumur hidup. Jadi saya yakin subjek rakan kongsi itu penting didalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Idea untuk membincangkan subjek ini sebenarnya tercetus ketika tahun lepas lagi sekitar bulan November 2007. Ketika itu saya, rakan kongsi dan rakan baik saya Raof, dan seorang lagi rakan kongsi saya untuk perniagaan yang telah kami cuba jalankan semenjak tahun 2004 menghadapi sedikit ketegangan. Sebenarnya perniagaan tersebut telah menghadapi masalah yang agak teruk setelah sekian lama lagi. Tetapi hanya ketika itu kami berpeluang dan membuat keputusan untuk bersemuka dan berbincang untuk kata putus.

Saya rasa tidak perlulah dinyatakan apa intipati perbincangan tersebut disini, tetapi ekoran daripada perbincangan tersebut saya sempat membuat catatan tentang topik yang akan kita bincangkan hari ini. RAKAN KONGSI.

HUSAMWAKSA

No comments: