Friday, June 20, 2008

FIRST DIARY: Sekapur sirih seulas pinang

Setiap kali saya dalam perjalanan samada dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau sebaliknya salah satu destinasi wajib yang perlu saya singgah adalah Ipoh dan tempat utama yang perlu saya lawati adalah Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Disana menjadi pengubat rindu mengembalikan nostalgia ketika dialam mahasiswa. Boleh dikatakan hampir seluruh warga UTP mengenali saya atau saya mengenali mereka daripada Rektor (ketika ini Timbalan Pengerusi Pendidikan PETRONAS, Dato’ Dr Rosti Sarowono) hinggalah makcik cleaner. Blok yang wajib dilawati semestinya blok 21. Disana merupakan tempat berkumpul, pejabat bekas pensyarah pensyarah kegemaran yang kini bukan sahaja sekadar bekas pensyarah saya tetapi sudah menjadi kawan, teman bahkan seperti kakak dan abang kandung tempat meluah perasaan dan berkongsi cerita.

Seperti biasa, aktiviti rutin ketika melawat Bandar Seri Iskandar adalah makan tengah hari serta mendera Puan Noni atau lebih mesra dipanggil Akak Noni untuk belanja makan. Teringat untuk singgah di bangunan lama ACS, saya berselisih dengan Puan Azizan, bekas pensyarah Foundation Math I dan II. Kali ini beliau menyapa saya dan baliau teruja untuk mengetahui perkembangan anak didiknya. Beliau menjemput saya ke bilik beliau di tingkat atas dan perbualan kami menjadi rancak. Puan Azizan masih seperti dahulu, ceria penuh senyuman dan wajah keibuan. Sekali sekala saya cuba mencuri untuk memandang lirik mata beliau yang lembut membuatkan hati tenang teringatkan bonda.

Perbualan bertukar dari satu topik ke topik yang lain tanpa noktah. Kisah pelajar junior UTP meninggalkan kesan kepada saya sehingga hari ini. Syazwan yang saya hanya berkesempatan mengenali beliau hanya beberapa ketika dan kami pernah didalam satu kumpulan yang sama mewakili UTP ketika pertandingan Kem Ekonomi ala Apprentice seingat saya pada tahun 2004.

Syazwan menjadi buah mulut dikalangan pelajar hinggalah pensyarah di UTP kerana usaha beliau telah berjaya menghasilkan buku mengenai perniagaan internet. “ Kita saban tahun menghasilkan penyelidikan, tesis dan kertas kerja dan bertimbun-timbun dalam simpanan, tetapi saya malu seorang budak daripada pelajar kita sendiri telah berjaya menghasilkan sebuah buku sedangkan saya sendiri tidak pernah membukukan hasil kerja saya”. Keluh Puan Azizan menyatakan kekecewaannya. “Husam, awak patut tulis, kongsi cerita awak kepada kawan-kawan yang lain”. “Err… tapi puan saya rasa saya masih belum layak puan. Apalah sangat cerita yang dapat saya ceritakan, bisnes pon tak seberapa inikan pulak nak dikongsi untuk rujukan orang lain”, jawab saya ragu-ragu.

Sahingga ketika ini saya masih ingat perbualan tersebut dan sehingga saat ini perasaan ragu-ragu masih bermain difikiran saya. Tapi ada betulnya juga kata-kata Puan Azizan yang saya anggap seperti ibu saya sendiri. Masih banyak rakan-rakan dan pelajar lain yang ingin berniaga tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Saya masih ingat ramai rakan-rakan yang datang kepada saya bertanyakan pendapat dan meminta nasihat untuk memulakan perniagaan. Malah ada yang mempelawa untuk berkongsi modal dan sebagainya. “Husam takkan takda lubang sikit kot nak share dengan kitaorang”. Kadang- kadang saya menjadi buntu tak tahu apa yang sepatutnya saya perlu katakan. Seperti yang telah saya katakan saya masih belum layak untuk berbicara didalam hal ini. Perniagaan masih dalam peringkat mengenal dunia inikan pulak untuk memberi nasihat kepada orang lain.

Jika dihitung skor pencapaian peribadi terlalu banyak kegagalan dan kekecewaan yang telah saya lalui didalam perniagaan berbanding kejayaan. Kadang-kadang hati terdetik masih sempatkah untuk saya berpatah balik menjadi seperti rakan-rakan yang lain. Bekerja dengan gaji yang tetap, penuh dengan faedah insentif syarikat dan lain –lain lagi.

Tetapi saya sudah nekad. Sayu tahu apa yang saya impikan. Saya mempunyai visi dan matlamat sendiri. Inilah yang saya mahukan dan perkara yang memberi kepuasan kepada saya semenjak kecil lagi. Jadi saya tidak akan pernah berasa kecewa atau menyesal atas apa jua kisah perjalanan peribadi saya.

Akhirnya hari ini saya benar-benar menyahut cabaran Puan Azizan. Saya mula menulis kisah-kisah kecil peribadi saya untuk dikongsi dengan pembaca semua.

Sekiranya anda mencari sebuah buku tentang langkah-langkah untuk memulakan perniagaan atau cara-cara untuk berniaga dan menjadi kaya anda mungkin tersalah pilih. Jika anda juga merupakan ahli perniagaan yang memiliki sebuah perniagaan yang baik kemungkinan buku ini tidak sesuai untuk dibaca oleh anda. Apapun, apa salahnya sekiranya anda ingin membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini sebagai bahan ringan disamping memberatkan lagi poket saya dengan wang royalti. Terima kasih.

Tetapi sekiranya anda masih tertanya-tanya apa yang hendak dilakukan kemungkinan kisah-kisah hidup saya dapat dijadikan sebagai panduan kecil. Saya sengaja mengolah buku ini agar tidak menjadi terlalu stereotaip seperti buku-buku lain yang pernah saya baca. Buku ini lebih terarah kepada sebuah kisah hidup yang meminta pembaca untuk berfikir serta mengadaptasikan sendiri nilai-nilai yang cuba saya sampaikan. Semoga kisah suka duka saya memulakan perniagaan dapat menjadi panduan dan tips kepada anda. Saya suka kepada prinsip memberi pancing daripada memberi terus ikan untuk dimasak masakan yang enak-enak.

Terimalah buah tangan daripada saya, DIARI GRADUAN MENGANGGUR, tidak bekerja dan tidak pernah bekerja tetapi kaya.

Ditulis pada 10 April 2007

HUSAMWAKSA

No comments: