Sunday, April 19, 2009

M.E.L.A.Y.U.


Saya masih ingat kata kata rakan beberapa tahun lalu. Ketika itu kami masih didalam bilik kecik beliau di menara Petronas. Tahun tersebut merupakan tahun yang agak sibuk memandangkan kami didalam perancangan untuk menjayakan projek Glorious Malay World. Sayangnya projek tersebut merupakan projek yang bagus tetapi dek kerana melibatkan terlalu banyak 'politik' serta masing-masing mempunyai agenda tersendiri maka akhirnya projek tersebut terbengkalai begitu sahaja.

Kata beliau Melayu itu indah. Melayu itu bukan sekadar Melayu yang asal usulnya dari Riau. Tetapi adanya Melayu yang pelbagai. Melayu Deli, Melayu Banjar serta seluruh pelusuk Tanah Melayu. Melayu bukan sekadar takrifan perlembagaan serta telahan Kamus Dewan semata-mata.

Adanya juga Melayu Arab, Melayu Pakistan, Melayu India, Melayu Siam, Melayu Turki malah Melayu Mat Saleh. Semuanya ini dikenali sebagai Melayu.

Tidak seperti bangsa-bangsa lain yang lebih mudah untuk dikenali kerana bangsa mereka mempunyai satu kayu ukur yang mudah bagi mendefinisikan serta mengklasifikasikan bahawa dimana letaknya kelompok bangsa mereka berbanding Melayu. Tetapi tidak juga dikatakan bahawa Melayu itu juga bukanlah terlalu subjektif kerana masih ada galor-galor untuk meletakkan siapa dan dimana itu Melayu.

Indahnya Melayu itu kerana didalam Melayu bukan hanya ada Melayu. Didalam Melayu itu adanya Belanda, adanya British. Adanya Melayu menyebabkan adanya Cina dan India. Adanya Melayu menyebabkan adanya toleransi. Maka adanya Melayu dan sikap-sikap nya telah memberi ruang yang luas untuk dunia Malaysia berkembang luas.

Sayangnya kerana Melayu itu sering dihubung kait dengan sikap yang mazmumah maka Melayu sering dijadikan bahan senda. Lupa kita bahawa Melayu itu begitu besar tamadunnya. Lupa juga bahawa Melayu itu sangat tinggi budayanya serta penuh dengan inovasi dan kreatif seninya.

Saya faham didalam kelompok kita Melayu sering akan dikritik kerana kritik diperlukan untuk pembangunan insan dan bangsa. Tatapi elok juga diangkat cerita cerita istimewanya Melayu sebagai booster. Bak kata orang, lebih efektif kiranya diperkuatkan kelebihan yang ada disamping cuba mengatasi kelemahan. Mungkin sekarang adalah masa untuk kita sendiri membuat SWOT analysis atau kata lainya muhasabah secara menyeluruh. Tidak sekadar melihat satu bahagian sahaja.

Harapan saya dengan ruang yang begitu luas telah dibuka serta reformasi yang begitu drastik serta kadang kadang agak membimbangkan, Melayu akan berlaku suatu tranformasi yang begitu positif setelah lebih 300 tahun kita dijajah oleh bangsa asing.

Saya masih percaya bahawa Melayu tetap istimewa baik apa jua jenis Melayu yang ada. Kerana itu saya bangga bahawa saya ini anak jati Melayu dan saya pasti sekurang kurangnya didalam kehidupan yang singkat ini agar dapat jua disumbangkan sedikit untuk catatan sejarah sebagai sebahagian daripada ketamadunan bangsa Melayu yang lebih progresif, pragmatik dan beriman. Dan saya berharap lebih ramai yang akan bangun dengan perubahan yang lebih besar untuk ketamadunan Melayu; bukan survival.

Husam Waksa
1150am