Friday, July 11, 2008

Kategori Rakan Kongsi: Part 1


Ketika ini saya sedang berada di Kampung Budaya Sarawak, kali pertama menjejakkan kaki ke bumi kenyalang. Banyak perkara baru yang saya dapat perhatikan, daripada keadaan sosio ekonomi, budaya yang pelbagai, bahasa yang berbeza dan yang penting tentulah peluang-peluang perniagaan yang dapat dilihat disini.

Tidak dapat nafikan kemungkinan kerana jarak antara dua tanah besar memungkinkan berlaku pengasingan dalam aktiviti perdagangan diantara Serawak, Sabah dan Semenanjung.

Semasa di airport saya ada menerima SMS daripada kakak saya, 'jangan lupa beli roti gardinea inti ikan bilis, jangan terkejut pula'. Memang saya akan terkejut, kenapa kena beli roti disini. Di Sarawak tak adakah! Apabila saya ke tingkat 3 KLIA, saya lihat ramai muka-muka yang lebih kurang boleh di agak dari Sarawak memborong roti tersebut seolah-olah akan berlaku kemarau tanpa makanan. Saya meringankan mulut untuk bertanya 'kakak mahu pulang ke Kuching ke?'.Kakak tersebut tersenyum tanda jawapan ya. ' Eh banyak beli roti kak' tambah saya lagi. ' Iya dik sana Sarawak tak ada'. Jawapan tersebut cukup itu memberikan gambaran yang bercampur antara terkejut dan gelihati.

Mungkin anda sangkakan saya ke Serawak kerana ingin bercuti. Tujuan kesana kerana mengikuti program Rainforest World Music Festival yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai. Saya ada membuka sebuah booth disana bagi mempromosikan jenama HUSAMWAKSA seterusnya bagi memperkenalkan model dan melihat prospek di Sarawak sendiri. Bahagian promosi mungkin hanya 10% sahaja tetapi bakinya lebih kepada untuk menziarah kakak saya di Kuching dan melihat-lihat kota Kuching kerana ini adalah kali pertama saya ke sini.

Semasa di booth nampaknya hanya saya seorang yang solo sedangkan yang lain dalam pasangan mahupun kumpulan. Nampaknya semuanya ada rakan kongsi disini. Nasib baik ada seorang kenalan baru sudi menemankan saya seterusnya jadilah kami rakan kongsi tidak rasmi.

Dalam kepanasan saya terlintas beberapa point yang ingin saya sambungkan bicara tentang rakan kongsi.

Faktor-faktor rakan kongsi biasanya dipengaruhi oleh beberapa keadaan dan situasi. Faktor ini sebenarnya sudah biasa dan selalu dipraktikkan oleh hampir semua orang. Kita lihat rakan kongsi dapat dibahagikan kepada beberapa kategori dan dipengaruhi oleh beberapa faktor:

1. Rakan kongsi CINTA
2. Rakan kongsi KAWAN
3. Rakan kongsi IDEA
4. Rakan kongsi FULUS
5. Rakan kongsi TIDUR
6. Rakan kongsi SYAITAN

11 Julai 2008

Husamwaksa

Thursday, July 3, 2008

RAKAN KONGSI

Di dalam perniagaan mempunyai rakan kongsi adalah menjadi sebahagian daripada perkara penting yang perlu dititikberatkan. Kadang kala rakan kongsi wujud atas kerana perkongsian idea ataupun minat dua individu lalu tercetus kepada keputusan untuk menterjemahkan idea tersebut kepada suatu perniagaan.

Untuk perniagaan jenis kecil-kecilan perkongsian adalah menjadi pilihan kepada individu tersebut samada untuk menjadikannya perniagaan perkongsian ataupun perniagaan tunggal. Perniagaan ini kalau di negara kita lebih sinonim dikenali sebagai enterprise walaupun sebenarnya tidak banyak orang yang faham bahawa enterprise itu sendiri terbahagi kepada dua kategori.

Tetapi sekiranya anda mempunyai sebuah syarikat ‘corporation’ atau syarikat sendirian berhad, mempunyai dua orang pengarah adalah syarat minimum untuk menubuhkan sebuah syarikat. Maka disini akan timbul isu untuk memilih siapa yang patut untuk dijadikan sebagai rakan kongsi.

Suka untuk saya bincangkan bab ini kerana sepanjang saya menceburkan diri didalam perniagaan samada kecil, sederhana mahupun besar, rakan kongsi adalah salah satu tajuk prima didalam perjalanan peribadi hidup perniagaan saya. Saya yakin bab ini juga merupakan bab yang penting bagi usahawan-usahawan yang lain.

Rakan kongsi boleh buatkan anda rasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk mulakan perniagaan, rakan kongsi juga dapat buatkan anda tidak lena tidur malam, kadang-kadang rakan kongsi jugalah yang akan membuatkan anda sengsara seumur hidup. Jadi saya yakin subjek rakan kongsi itu penting didalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Idea untuk membincangkan subjek ini sebenarnya tercetus ketika tahun lepas lagi sekitar bulan November 2007. Ketika itu saya, rakan kongsi dan rakan baik saya Raof, dan seorang lagi rakan kongsi saya untuk perniagaan yang telah kami cuba jalankan semenjak tahun 2004 menghadapi sedikit ketegangan. Sebenarnya perniagaan tersebut telah menghadapi masalah yang agak teruk setelah sekian lama lagi. Tetapi hanya ketika itu kami berpeluang dan membuat keputusan untuk bersemuka dan berbincang untuk kata putus.

Saya rasa tidak perlulah dinyatakan apa intipati perbincangan tersebut disini, tetapi ekoran daripada perbincangan tersebut saya sempat membuat catatan tentang topik yang akan kita bincangkan hari ini. RAKAN KONGSI.

HUSAMWAKSA