Friday, June 20, 2008

LAWATAN PERIBADI TKM 1 PULAU PINANG, coretan peribadi















19 Jun 2008, Pembentangan kertas kerja cadangan untuk pembangunan projek pelancongan di Pulau Pinang serta beberapa projek lain untuk negeri.

Perbincangan melibatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, YB Tuan Mohamad Fairus Khairuddin dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pulau Pinang, Puan Hafidzah Hassan, Firdaus eksekutif operasi dan saya sendiri.

Buat masa ini biarlah butiran lanjut perbincangan tersebut tidak dibincangkan lagi. Tetapi apa yang saya ingin tekankan disini, perkenalan pertama bersama Yang Berhormat TKM 1 pada 15 April, ketika itu majlis tahlil anjuran Majlis Agama Islam Negeri oleh pengerusi yang juga kenalan baik saya Dato’ Nor Mohamad Becker sempena hari ulang tahun keputeraan tok tersayang di masjid negeri.

Keesokan harinya saya langsung mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau. Bermula dari situ kami mula rapat dan mengenali antara satu sama lain. Secara peribadi melalui perwatakan beliau jelas melihatkan bahawa beliau secara peribadi komited untuk memperjuangkan rakyat Pulau Pinang khususnya dan Malaysia dan yang pastinya bangsa Melayu di Pulau Pinang. Beliau sendiri mengatakan kepada saya, jangan mengganggu gugat hal-hal agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu kerana beliau adalah orang yang akan terkedepan akan memperjuangkannya. Beliau tidak segan silu untuk memperkatakannya hatta di hadapan YAB Ketua Menteri sendiri.

Secara peribadi ketika pengumuman keputusan pilihanraya lalu saya berasa amat sedih dengan kedudukan Pulau Pinang. Apa yang dikhuatirkan adalah nasib kami sebagai orang Melayu dan usahawan dan ahli perniagaan Melayu di Pulau Pinang.

Setakat ini apa yang saya berani luahkan adalah sekiranya Kerajaan Pulau Pinang kekal dengan cara pengurusan yang telus dan cekap, saya yakin Pulau Pinang dapat terus memacu pembangunan walaupun dianak tirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Apa yang saya harapkan suatu perubahan yang dapat membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk kita semua rakyat Malaysia.

Kata-kata diatas hanyalah cebisan komentar peribadi saya sahaja, pendirian politik saya adalah hak saya dan ia adalah rahsia. Luahan saya tidak menterjemahkan samada saya adalah penyokong mana mana parti politik tertentu, saya hanya sokong yang benar-benar boleh perjuangkan rakyat Malaysia.

Suka jua ingin saya sentuh tentang kemelut ketika ini. Memandangkan Tun Mahathir bukan lagi ahli mana-mana parti politik, suka saya nyatakan yang saya amat dukacita atas apa yang sedang berlaku ketika ini. Impaknya dapat saya rasakan ketika lawatan saya ke Bangkok dan Singapura baru-baru ini. Saya sayang dan kagumi Tun dan terasa rindu saat saat saya sendiri dihormati dan dikagumi kerana merupakan seorang rakyat Malaysia ketika melawat negara luar.

Sekian coretan ringkas saya hari ini, 21 Jun 2008

HUSAMWAKSA

Hari Hari Menentang Cabaran

Bisnes dan perniagaan bukanlah pilihan kerjaya seindah yang dikhabarkan. Rakan-rakan sering berkata kepada saya, ‘wah, jadi bos beruntunglah boleh buat apa suka’.

Secara asas saya rasa ramai dikalangan kita faham yang keusahawanan itu memang penuh cabaran. Bukan calang-calang cabaran dan bukan calang-calang orang dapat menempuh apatah lagi dapat bertahan dengan cabaran yang dilalui.

Ketika saya menulis ini ingin saya nyatakan saya benar-benar diambang penuh cabaran yang sangat runcing. Didalam keadaan bisnes yang tidak berjalan dengan baik, bisnes yang tidak menjadi seperti yang dirancang dan diharapkan. Untuk berpatah kembali kepada perniagaan asal yang sememangnya memberikan pulangan yang lumayan, kekurangan modal membantutkan hasrat dan usaha.

Saya hilang fokus seolah-olah mati akal apa yang patut saya lakukan. Selama enam hingga tujuh tahun saya bergelumang didalam bidang keusahawanan tidak pernah terlintas difikiran untuk berikhtiar mencari pekerjaan sementara bagi menampung hidup, tetapi kini persoalan ini tercetus.

Modal, fokus, pasaran, jenis perniagaan semuanya menjadi persoalan tanpa jawapan kepada saya. Saya dapat rasakan sudah hampir dua bulan persoalan tinggal persolan. Hati kental yang dahulunya sangat degil terasa seperti sudah tidak sekeras dahulu lagi. Semangat semakin kurang dan keyakinan diri saya hancur.

Perasaan tersebut mungkin beberapa detik yang lalu.

Saya berbesar hati dan sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya ubat pada minggu yang lalu. Terima kasih kepada Pak Syed dari MARA Pulau Pinang kerana membenarkan saya mengikuti rombongan ke PWTC untuk pelancaran Program Peruncitan peringkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri.

Niat utama kesana bukanlah kerana berminat dengan program tersebut, tetapi hanya sekadar ingin melihat dan mengintai peluang-peluang yang ada.

Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka PWTC penuh dengan rakan-rakan dan kenalan perniagaan lama. Masing-masing dengan pameran produk dan booth. Perasaan saya bercampur baur diantara cemburu melihat kejayaan rakan-rakan dan bangga serta berangan-angan suatu hari nanti saya pasti dapat duduk bersama mereka.

Apakah yang dikatakan penemuan ubat disini?

Sesiapa samada pelajar, ahli perniagaan, ahli politik, pekerja awam dan sebagainya pasti akan melalui saat-saat yang menggugat semangat dan kekuatan diri. Semangat hanya akan kembali sekiranya kena caranya dan tempatnya.

Seorang pelajar yang patah hati mungkin memerlukan seorang rakan karib untuk meluahkan perasaan dan masalah. Sekurang-kurangnya bebanan yang ditanggung dapat dikongsi bersama.

Saya yakin sebagai seorang usahawan dan ahli perniagaan, masalah yang dihadapi oleh orang berniaga hanya akan difahami oleh orang yang sememangnya berniaga juga. Kita mungkin dapat berkongsi masalah dengan rakan karib, ahli keluarga mahupun yang tersayang tetapi sekiranya mereka bukan orang berniaga, mereka tidak dapat memahami masalah kita secara mendalam dan cara mereka sememangnya akan berbeza.

Berdampinglah dengan rakan-rakan yang berniaga. Setidak-tidaknya rakan perniagaan yang hampir serupa dengan kita. Inilah yang saya katakana ubat tadi. Rakan-rakan lama yang ketemu di PWTC sebenarnya merupakan ubat kepada hati saya. Banyak perkara yang dapat dikongsi dan banyak idea serta buah fikiran dapat kita peroleh sekiranya kita berkongsi bersama rakan-rakan kita yang sememangnya golongan yang saya katakana ‘orang berniaga’. Kadang-kadang kita rasakan ujian yang kita lalui sudah cukup berat untuk ditanggung, tetapi jika kita berkongsi pengalaman dan cerita baru kita sedari sebenarnya ujian yang kita lalui kecil sahaja.

Konsep ini bunyi terlalu mudah dan saya pasti semua orang tahu. Tetapi tidak ramai yang mempraktikkan kerana selalunya jika perniagaan menghadapi masalah, kita selalunya akan menghindarkan diri daripada rakan-rakan lain atas dasar rasa rendah diri mahupun perasaan malu.

Saya percaya konsep ini dipraktikkan sekian lama oleh ahli peniaga Cina melalui konsep Bamboo Networking. “Sistem Payung” atau membantu peniaga lain sangat berkesan malah inilah sebenarnya konsep fundemantel perniagaan Islam!

Ditulis pada pertengahan tahun 2007

HUSAMWAKSA

Kenapa Graduan Menanggur

Setiap orang graduan setelah tamat pengajiannya soalan yang selalu akan ditanya kepada mereka adalah apa nak buat lepas ni? Atau dah dapat kerja? Atau mungkin juga kerja di syarikat mana.

Jadi bagi graduan yang masih belum dapat menempatkan diri dimana mana syarikat samada syarikat kecil mahupun yang mencapai status multinasional maka selalunya akan berbunyi suara mengeluh kerana masih belum mendapat tawaran pekerjaan. Isu ini bukan lagi merupakan isu individu atau masalah kelompok keluarga, malah ia sudah menjadi isu nasional dan dibincangkan didalam dewan rakyat dan kebinet. Kumpulan ini dinamakan graduan menganggur.

Aduh sakit hati apabila saya mendengar perkataan ini. Malah saya yakin rakan-rakan lain lebih sakit hati jika dipanggil dengan gelaran tersebut.

Secara amnya seseorang yang sudah tamat pengajian dan masih belum bekerja dimana mana syarikat akan dipanggil sebagai graduan menganggur.

Kini umur saya sudah mencecah 26 tahun, dan ketika ini sekiranya terserempak dengan mana mana kenalan lama soalan pertama yang akan saya terima begitu juga soalan yang sama yang akan saya ajukan adalah 'kerja kat mana sekarang'. Memandangkan saya dahulu belajar di Universiti yang hanya menawarkan program kejuruteraan, maka nama-nama seperti PETRONAS, SHELL, Schlumberger, Technip, RNZ selalu didengar.

Maksudnya mereka bekerja dimana-mana syarikat sebagai eksekutif, pegawai dan sebagainya. Jadi sekiranya saya diajukan soalan yang sama, maka apa yang akan saya jawab adalah saya masih belum bekerja. Saya tidak bekerja kerana saya tidak terikat dengan mana mana syarikat.

Saya tidak bekerja juga kerana saya tidak dibayar atau menerima gaji sebagai eksekutif.

Kasihan....

Saya adalah seorang penganggur lah namanya

Tetapi saya memang tidak bekerja kerana saya tidak bekerja untuk orang. Saya juga tidak bekerja untuk diri sendiri. Saya juga tidak bekerja sendiri. Tetapi mengusahakan sesuatu untuk diri sendiri, orang dan negara. Jadi saya rasakan perkataan yang sesuai adalah saya adalah seorang usahawan.

Duit tak banyak tapi dari segi zahiriahnya dimata rakan-rakan mungkin sikit juga ada lebih. Maka perkataan yang selalu diguna pakai adalah kaya. Orang kaya selalu dikaitkan dengan juta juta dan dipanggil jutawan.

Saya tak bekerja maka saya seorang penganggur, tetapi saya ada lebih sikit duit bolehlah dipanggil kaya. Sayu mahu jadi jutawan.

Apa salahnya saya namakan saya adalah Graduan Menganggur Jutawan.

Siapa tahu!

HUSAMWAKSA

FIRST DIARY: Sekapur sirih seulas pinang

Setiap kali saya dalam perjalanan samada dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau sebaliknya salah satu destinasi wajib yang perlu saya singgah adalah Ipoh dan tempat utama yang perlu saya lawati adalah Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Disana menjadi pengubat rindu mengembalikan nostalgia ketika dialam mahasiswa. Boleh dikatakan hampir seluruh warga UTP mengenali saya atau saya mengenali mereka daripada Rektor (ketika ini Timbalan Pengerusi Pendidikan PETRONAS, Dato’ Dr Rosti Sarowono) hinggalah makcik cleaner. Blok yang wajib dilawati semestinya blok 21. Disana merupakan tempat berkumpul, pejabat bekas pensyarah pensyarah kegemaran yang kini bukan sahaja sekadar bekas pensyarah saya tetapi sudah menjadi kawan, teman bahkan seperti kakak dan abang kandung tempat meluah perasaan dan berkongsi cerita.

Seperti biasa, aktiviti rutin ketika melawat Bandar Seri Iskandar adalah makan tengah hari serta mendera Puan Noni atau lebih mesra dipanggil Akak Noni untuk belanja makan. Teringat untuk singgah di bangunan lama ACS, saya berselisih dengan Puan Azizan, bekas pensyarah Foundation Math I dan II. Kali ini beliau menyapa saya dan baliau teruja untuk mengetahui perkembangan anak didiknya. Beliau menjemput saya ke bilik beliau di tingkat atas dan perbualan kami menjadi rancak. Puan Azizan masih seperti dahulu, ceria penuh senyuman dan wajah keibuan. Sekali sekala saya cuba mencuri untuk memandang lirik mata beliau yang lembut membuatkan hati tenang teringatkan bonda.

Perbualan bertukar dari satu topik ke topik yang lain tanpa noktah. Kisah pelajar junior UTP meninggalkan kesan kepada saya sehingga hari ini. Syazwan yang saya hanya berkesempatan mengenali beliau hanya beberapa ketika dan kami pernah didalam satu kumpulan yang sama mewakili UTP ketika pertandingan Kem Ekonomi ala Apprentice seingat saya pada tahun 2004.

Syazwan menjadi buah mulut dikalangan pelajar hinggalah pensyarah di UTP kerana usaha beliau telah berjaya menghasilkan buku mengenai perniagaan internet. “ Kita saban tahun menghasilkan penyelidikan, tesis dan kertas kerja dan bertimbun-timbun dalam simpanan, tetapi saya malu seorang budak daripada pelajar kita sendiri telah berjaya menghasilkan sebuah buku sedangkan saya sendiri tidak pernah membukukan hasil kerja saya”. Keluh Puan Azizan menyatakan kekecewaannya. “Husam, awak patut tulis, kongsi cerita awak kepada kawan-kawan yang lain”. “Err… tapi puan saya rasa saya masih belum layak puan. Apalah sangat cerita yang dapat saya ceritakan, bisnes pon tak seberapa inikan pulak nak dikongsi untuk rujukan orang lain”, jawab saya ragu-ragu.

Sahingga ketika ini saya masih ingat perbualan tersebut dan sehingga saat ini perasaan ragu-ragu masih bermain difikiran saya. Tapi ada betulnya juga kata-kata Puan Azizan yang saya anggap seperti ibu saya sendiri. Masih banyak rakan-rakan dan pelajar lain yang ingin berniaga tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Saya masih ingat ramai rakan-rakan yang datang kepada saya bertanyakan pendapat dan meminta nasihat untuk memulakan perniagaan. Malah ada yang mempelawa untuk berkongsi modal dan sebagainya. “Husam takkan takda lubang sikit kot nak share dengan kitaorang”. Kadang- kadang saya menjadi buntu tak tahu apa yang sepatutnya saya perlu katakan. Seperti yang telah saya katakan saya masih belum layak untuk berbicara didalam hal ini. Perniagaan masih dalam peringkat mengenal dunia inikan pulak untuk memberi nasihat kepada orang lain.

Jika dihitung skor pencapaian peribadi terlalu banyak kegagalan dan kekecewaan yang telah saya lalui didalam perniagaan berbanding kejayaan. Kadang-kadang hati terdetik masih sempatkah untuk saya berpatah balik menjadi seperti rakan-rakan yang lain. Bekerja dengan gaji yang tetap, penuh dengan faedah insentif syarikat dan lain –lain lagi.

Tetapi saya sudah nekad. Sayu tahu apa yang saya impikan. Saya mempunyai visi dan matlamat sendiri. Inilah yang saya mahukan dan perkara yang memberi kepuasan kepada saya semenjak kecil lagi. Jadi saya tidak akan pernah berasa kecewa atau menyesal atas apa jua kisah perjalanan peribadi saya.

Akhirnya hari ini saya benar-benar menyahut cabaran Puan Azizan. Saya mula menulis kisah-kisah kecil peribadi saya untuk dikongsi dengan pembaca semua.

Sekiranya anda mencari sebuah buku tentang langkah-langkah untuk memulakan perniagaan atau cara-cara untuk berniaga dan menjadi kaya anda mungkin tersalah pilih. Jika anda juga merupakan ahli perniagaan yang memiliki sebuah perniagaan yang baik kemungkinan buku ini tidak sesuai untuk dibaca oleh anda. Apapun, apa salahnya sekiranya anda ingin membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini sebagai bahan ringan disamping memberatkan lagi poket saya dengan wang royalti. Terima kasih.

Tetapi sekiranya anda masih tertanya-tanya apa yang hendak dilakukan kemungkinan kisah-kisah hidup saya dapat dijadikan sebagai panduan kecil. Saya sengaja mengolah buku ini agar tidak menjadi terlalu stereotaip seperti buku-buku lain yang pernah saya baca. Buku ini lebih terarah kepada sebuah kisah hidup yang meminta pembaca untuk berfikir serta mengadaptasikan sendiri nilai-nilai yang cuba saya sampaikan. Semoga kisah suka duka saya memulakan perniagaan dapat menjadi panduan dan tips kepada anda. Saya suka kepada prinsip memberi pancing daripada memberi terus ikan untuk dimasak masakan yang enak-enak.

Terimalah buah tangan daripada saya, DIARI GRADUAN MENGANGGUR, tidak bekerja dan tidak pernah bekerja tetapi kaya.

Ditulis pada 10 April 2007

HUSAMWAKSA