Monday, September 15, 2008

PROMOSI 'Kenapa Peniaga Kecil Masih Menjadi Peniaga Kecil'



Saya rasakan terlalu lama telah saya tinggalkan blog ini dan baru hari ini saya mempunyai kesempatan untuk terus menulis semula. Chapter yang lalu mengenai rakan kongsi masih tergantung dan saya berharap dapat disambung ceritanya selepas saya pulang ke KL.

Buat masa ini saya sudah hampir sebulan lebih berkampung di Pulau Pinang. Asalnya bagi menjayakan projek yang dirancang tetapi lain yang dirancang lain pula yang jadinya. Pada asalnya tujuan saya disini adalah bagi menyiapkan persiapan untuk sebuah projek pelancongan di Esplanade, Padang Kota Lama. Setelah penat membuat beberapa presentation yang boleh dikatakan hampir setiap minggu disini, tiba-tiba saya diarahkan oleh YB Timbalan Ketua Menteri untuk membantu bagi menjayakan program Souq Ramadhan, Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Kalau ditolak takut terkensel semua projek-projek lain, kalau diambil pula lain pula ceritanya. 3 hari 3 malam saya cuba membuat kira-kira cash flow masih belum nampak angka-angka yang boleh membuatkan saya selesa. Takpala... pejam mata buat saja. Saya ingat kata-kata nasihat Toksu saya, "buat elok-elok, untung tak banyak takpa, yang penting depa percaya kat kita".

Naik turun pejabat KOMTAR, MPPP dan macam-macam lagi seolah-olah saya kena masuk tribunal, tempat yang dicadangkan tidak direstui oleh MPPP dan seangkatan dengannya. Akhir sekali PISA juga yang menjadi mangsa. Dari awal lagi saya kurang yakin dengan tempat tersebut, tetapi apakan daya, dari Dato Zainal Rahim sampailah ke staff bawah semuanya rasanya dah jemu tengok muka saya. Saya pula seolah-olah bagaikan pegawai khas TKM cuba membawa usul kesana sini.

Kalau saya bangkang lagi dan berkeras dengan tempat yang saya mahukan nampaknya bulan Ramadhan terpaksa ditangguh kepada bulan Disember. Jadi terpaksa jugalah saya terima bulat-bulat walaupun ketika mesyuarat bersama setiausaha MPPP darah saya memang dah tersirap-sirap. Nasib baik mesyuarat tersebut Puan Timbalan UPEN tak ada, tidak pasti menyinga dia kat situ. Penolong Pengarah terkulat-kulat mendengar saya membantah itu dan ini.

Lain-lain hal politik sepak terajang di Pulau Pinang tak perlulah saya sebut disini. Ditambah lagi bala kedua.... kita hanya menguruskan program tersebut, sepatutnya para peniaga diuruskan oleh pihak yang berwajib lah. Tapi bila lagi 2 minggu nak masuk bulan puasa baru saya sedar yang seorang pon belum ada lagi. Adoi, saya ingat nak pi Mekah minta tangguhkan Bulan Ramadhan Februari 2009 pula.

Maka seluruh gerombolan pekerja dan sahabat handai Husam Waksa dikerah untuk mencari peniaga. Berjalanlah kami macam nak panggil kenduri kahwin, auta sunat wajib makruh semua pon keluarlah. Yang penting marketing kena chanteek. Dapatlah juga kumpul 70 orang lebih walaupun sasaran asalnya ialah 200 orang.

3 hari sebelum program bermula, peruntukan pula tak diluluskan. Dahulu RM30 ribu adalah untuk persiapan majlis perasmian tetapi RM30 ribu untuk segala-galanya. Aduh, memang saya duduk Penang termakan garam banyak, maka naiklah darah saya disini.

Akhirnya bajet untuk iklan hanyalah 4 ribu lebih sahaja..... ala kadar sajalah iklannya. Hasilnya ala kadar jugalah pengunjungnya ke PISA.

Hari pertama kedua, kuranglah pengunjung kerana terlalu awal, bila kurang pengunjung maka peniaga yang baru mula mencari pengalaman pon resah hati, hilang semangat dan adalah yang mula buka kedai macam lampu lip lap.

Hari-hari kemudiannya orang mula nak mengenali PISA, kedainya pula macam lopak air, ada bukak ada tutup, saya sendiri pon hilang semangat nak ajak kawan-kawan kesana. Hadoi... masalah lagi. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah peniaga yang benar-benar ingin berniaga.

Sekarang ini saya rasakan dan kurang dah power elektrik... tak lama lagi lampu lip lap mungkin terpadam. Semua ini adalah garapan 'circumstances' yang melibatkan semua pihak.

Pengajarannya... saya teringat suatu pembacaan saya ketika dahulu, mengapa pengusaha IKS tidak dapat berkembang dan kadang-kadang gagal dalam perniagaan.

PROMOSI, PROMOSI.... kos promosi selalu tiada dalam senarai bajet. Selalu dianggap membazir dan selalu dianggap tidak penting. Kalau ya pun hanya sekelumit sahaja peruntukan yang diberikan. Promosi dianggap macam anak tiri. Hasilnya... bagai kisah yang saya sebut diatas.

Oleh demikian, untuk program akan datang.... saya tahu apa yang perlu saya 'keriau' (sila rujuk kamus Mami Tanjung) kuat-kuat kepada depa semua ni. Bajet promosi kalau ciput, maaf saya tak mau ambil risiko. Sila buat sendiri.

Promosi tidak semestinya dalam jumlah yang besar, tetapi impaknya mestilah berkesan dan dapat sampai ke kumpulan sasaran yang ditujukan.

Harapan saya bloq seterusnya diharap dapat saya kupaskan kisah promosi ini lagi dengan ulasan yang lebih positif supaya dapat dikongsi atau diguna pakai oleh pembaca semua.

Selamat Menjalankan Ibadah Ramadhan

Husam Waksa