Friday, June 20, 2008

Hari Hari Menentang Cabaran

Bisnes dan perniagaan bukanlah pilihan kerjaya seindah yang dikhabarkan. Rakan-rakan sering berkata kepada saya, ‘wah, jadi bos beruntunglah boleh buat apa suka’.

Secara asas saya rasa ramai dikalangan kita faham yang keusahawanan itu memang penuh cabaran. Bukan calang-calang cabaran dan bukan calang-calang orang dapat menempuh apatah lagi dapat bertahan dengan cabaran yang dilalui.

Ketika saya menulis ini ingin saya nyatakan saya benar-benar diambang penuh cabaran yang sangat runcing. Didalam keadaan bisnes yang tidak berjalan dengan baik, bisnes yang tidak menjadi seperti yang dirancang dan diharapkan. Untuk berpatah kembali kepada perniagaan asal yang sememangnya memberikan pulangan yang lumayan, kekurangan modal membantutkan hasrat dan usaha.

Saya hilang fokus seolah-olah mati akal apa yang patut saya lakukan. Selama enam hingga tujuh tahun saya bergelumang didalam bidang keusahawanan tidak pernah terlintas difikiran untuk berikhtiar mencari pekerjaan sementara bagi menampung hidup, tetapi kini persoalan ini tercetus.

Modal, fokus, pasaran, jenis perniagaan semuanya menjadi persoalan tanpa jawapan kepada saya. Saya dapat rasakan sudah hampir dua bulan persoalan tinggal persolan. Hati kental yang dahulunya sangat degil terasa seperti sudah tidak sekeras dahulu lagi. Semangat semakin kurang dan keyakinan diri saya hancur.

Perasaan tersebut mungkin beberapa detik yang lalu.

Saya berbesar hati dan sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya ubat pada minggu yang lalu. Terima kasih kepada Pak Syed dari MARA Pulau Pinang kerana membenarkan saya mengikuti rombongan ke PWTC untuk pelancaran Program Peruncitan peringkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri.

Niat utama kesana bukanlah kerana berminat dengan program tersebut, tetapi hanya sekadar ingin melihat dan mengintai peluang-peluang yang ada.

Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka PWTC penuh dengan rakan-rakan dan kenalan perniagaan lama. Masing-masing dengan pameran produk dan booth. Perasaan saya bercampur baur diantara cemburu melihat kejayaan rakan-rakan dan bangga serta berangan-angan suatu hari nanti saya pasti dapat duduk bersama mereka.

Apakah yang dikatakan penemuan ubat disini?

Sesiapa samada pelajar, ahli perniagaan, ahli politik, pekerja awam dan sebagainya pasti akan melalui saat-saat yang menggugat semangat dan kekuatan diri. Semangat hanya akan kembali sekiranya kena caranya dan tempatnya.

Seorang pelajar yang patah hati mungkin memerlukan seorang rakan karib untuk meluahkan perasaan dan masalah. Sekurang-kurangnya bebanan yang ditanggung dapat dikongsi bersama.

Saya yakin sebagai seorang usahawan dan ahli perniagaan, masalah yang dihadapi oleh orang berniaga hanya akan difahami oleh orang yang sememangnya berniaga juga. Kita mungkin dapat berkongsi masalah dengan rakan karib, ahli keluarga mahupun yang tersayang tetapi sekiranya mereka bukan orang berniaga, mereka tidak dapat memahami masalah kita secara mendalam dan cara mereka sememangnya akan berbeza.

Berdampinglah dengan rakan-rakan yang berniaga. Setidak-tidaknya rakan perniagaan yang hampir serupa dengan kita. Inilah yang saya katakana ubat tadi. Rakan-rakan lama yang ketemu di PWTC sebenarnya merupakan ubat kepada hati saya. Banyak perkara yang dapat dikongsi dan banyak idea serta buah fikiran dapat kita peroleh sekiranya kita berkongsi bersama rakan-rakan kita yang sememangnya golongan yang saya katakana ‘orang berniaga’. Kadang-kadang kita rasakan ujian yang kita lalui sudah cukup berat untuk ditanggung, tetapi jika kita berkongsi pengalaman dan cerita baru kita sedari sebenarnya ujian yang kita lalui kecil sahaja.

Konsep ini bunyi terlalu mudah dan saya pasti semua orang tahu. Tetapi tidak ramai yang mempraktikkan kerana selalunya jika perniagaan menghadapi masalah, kita selalunya akan menghindarkan diri daripada rakan-rakan lain atas dasar rasa rendah diri mahupun perasaan malu.

Saya percaya konsep ini dipraktikkan sekian lama oleh ahli peniaga Cina melalui konsep Bamboo Networking. “Sistem Payung” atau membantu peniaga lain sangat berkesan malah inilah sebenarnya konsep fundemantel perniagaan Islam!

Ditulis pada pertengahan tahun 2007

HUSAMWAKSA

No comments: