Perbincangan melibatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, YB Tuan Mohamad Fairus Khairuddin dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pulau Pinang, Puan Hafidzah Hassan, Firdaus eksekutif operasi dan saya sendiri.
Buat masa ini biarlah butiran lanjut perbincangan tersebut tidak dibincangkan lagi. Tetapi apa yang saya ingin tekankan disini, perkenalan pertama bersama Yang Berhormat TKM 1 pada 15 April, ketika itu majlis tahlil anjuran Majlis Agama Islam Negeri oleh pengerusi yang juga kenalan baik saya Dato’ Nor Mohamad Becker sempena hari ulang tahun keputeraan tok tersayang di masjid negeri.
Keesokan harinya saya langsung mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau. Bermula dari situ kami mula rapat dan mengenali antara satu sama lain. Secara peribadi melalui perwatakan beliau jelas melihatkan bahawa beliau secara peribadi komited untuk memperjuangkan rakyat Pulau Pinang khususnya dan Malaysia dan yang pastinya bangsa Melayu di Pulau Pinang. Beliau sendiri mengatakan kepada saya, jangan mengganggu gugat hal-hal agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu kerana beliau adalah orang yang akan terkedepan akan memperjuangkannya. Beliau tidak segan silu untuk memperkatakannya hatta di hadapan YAB Ketua Menteri sendiri.
Secara peribadi ketika pengumuman keputusan pilihanraya lalu saya berasa amat sedih dengan kedudukan Pulau Pinang. Apa yang dikhuatirkan adalah nasib kami sebagai orang Melayu dan usahawan dan ahli perniagaan Melayu di Pulau Pinang.
Setakat ini apa yang saya berani luahkan adalah sekiranya Kerajaan Pulau Pinang kekal dengan cara pengurusan yang telus dan cekap, saya yakin Pulau Pinang dapat terus memacu pembangunan walaupun dianak tirikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Apa yang saya harapkan suatu perubahan yang dapat membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk kita semua rakyat Malaysia.
Kata-kata diatas hanyalah cebisan komentar peribadi saya sahaja, pendirian politik saya adalah hak saya dan ia adalah rahsia. Luahan saya tidak menterjemahkan samada saya adalah penyokong mana mana parti politik tertentu, saya hanya sokong yang benar-benar boleh perjuangkan rakyat Malaysia.
Suka jua ingin saya sentuh tentang kemelut ketika ini. Memandangkan Tun Mahathir bukan lagi ahli mana-mana parti politik, suka saya nyatakan yang saya amat dukacita atas apa yang sedang berlaku ketika ini. Impaknya dapat saya rasakan ketika lawatan saya ke Bangkok dan Singapura baru-baru ini. Saya sayang dan kagumi Tun dan terasa rindu saat saat saya sendiri dihormati dan dikagumi kerana merupakan seorang rakyat Malaysia ketika melawat negara luar.
Sekian coretan ringkas saya hari ini, 21 Jun 2008
HUSAMWAKSA